suria

PRN Sarawak: Negeri Akan Mundur Jika Pembangkang Perintah

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sarawak tidak akan mencapai pembangunan yang terancang sekiranya pembangkang mentadbir negeri itu selepas pilihan raya negeri ke-10 Sabtu ini.

Perdana Menteri berkata, pentadbiran Sarawak memerlukan kerjasama erat dengan kerajaan Pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi mengembling usaha ke arah mentransformasikan rakyat negeri itu.

"Kalau kerajaan Pusat diketuai oleh BN, kerajaan negeri (Sarawak) juga ditadbir BN, Perdana Menteri dan Ketua Menteri juga daripada BN... atas semangat kerjasama ini transformasi Sarawak pasti akan berlaku," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program Khidmat Masyarakat 1Malaysia di Satok, Rabu malam.

Selain itu Najib yang juga Pengerusi BN turut membidas janji pembangkang yang menamakan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'Kelalan, Baru Bian sebagai Ketua Menteri yang baru sekiranya Pakatan Rakyat menang pada pilihan raya negeri.

Menurutnya, keputusan meletakkan seseorang yang tidak mempunyai pengalaman untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri bakal memberi kesan buruk kepada rakyat Sarawak.

"Kalau letak Baru Bian, dari mana nak dapatkan sumbangan nak majukan Sarawak. Orang yang tak ada pengalaman tiba-tiba nak nak letak sebagai Ketua Menteri, logik atau tidak? Tak logik.

"Akibatnya Sarawak tidak akan maju sekiranya pembangkang menang, jadi rakyat Sarawak tak boleh bagi pembangkang menang," katanya.

Tambah beliau, rakyat Sarawak dinasihatkan supaya tidak mudah termakan dengan janji-janji pembangkang yang dibuat sekadar meraih undi.

"Kalau nak majukan Sarawak, kita kena berpijak di bumi yang nyata, kita tak boleh hanya jual janji atau hanya perdagangkan janji... ini sikap pembangkang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain