suria

PRN Sarawak: BN Amal Pendekatan Harmoni Semua Kaum

KEDUP: Pendekatan politik pelbagai kaum menjadi amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) seiring dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri bagi membentuk sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, amalan itu jelas dilihat menerusi calon yang diturunkan untuk bertanding di 71 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10, Sabtu ini.

"Kita ada 13 komponen parti tetapi bertanding menggunakan bendera BN. Amalan itu membuktikan BN sentiasa memberi peluang kepada calon dari pelbagai kaum untuk mewakili rakyat di setiap DUN," katanya ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Kampung Bunan Gega di sini, Khamis.

Jelas beliau, BN sentiasa mementingkan soal kepentingan rakyat dan akan berusaha keras untuk meneruskan penguasaan di sini agar program pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.

"Kita sudah kenal pasti apa yang rakyat mahukan. Mereka tidak mahu ditabur dengan janji-janji kosong demi kepentingan politik sesetengah individu. Sebaliknya, apa yang mereka inginkan hanyalah pembangunan berterusan," ujarnya.

Muhyiddin turut menyelar sikap DAP yang cuba membakar emosi masyarakat Cina dalam modul kempen mereka supaya tidak mengundi kerajaan.

"DAP antara parti yang bersifat perkauman. Mereka hanya fokus terhadap satu kaum saja dan mengapi-apikan emosi rakyat untuk meraih undi," jelasnya.

Bagaimanapun, menerusi pemerhatiannya ketika lawatan ke kawasan bandar dan luar bandar sepanjang kempen berlangsung, Muhyiddin berkata, sambutan yang diterima daripada rakyat masih di peringkat memuaskan.

"Jadi itu petanda positif bahawa rakyat masih mengharapkan kerajaan untuk terus memerintah Sarawak. Oleh itu, jangan kita bakar emosi rakyat. Kita mahu wakil semua kaum terlibat dalam politik begitu juga di Sabah dan Semenanjung," katanya.

Beliau turut menggesa rakyat supaya tidak terpedaya dengan desakan pihak pembangkang pada kempen saat akhir mereka bagi memastikan kehidupan anak cucu lebih terjamin pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh dibohongi pihak pembangkang. Mereka bertanding untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya mewakili parti Pakatan Rakyat.

"DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan barangkali SNAP sudah hilang kepercayaan antara satu sama lain. Mereka cuba mempengaruhi rakyat dengan mengamalkan politik kotor untuk memancing undi," tegasnya.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu kerajaan memperuntukkan RM86.8 juta untuk projek pembangunan di DUN Kedup bagi memberikan kemudahan lebih selesa kepada rakyat.

"Kita akan menunaikan janji untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur seperti balai raya, jalan raya dan menyediakan bekalan elektrik untuk 71 buah rumah di kawasan ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain