suria

Lelaki Amuk 8 Jam Terpaksa Dilemahkan Guna Pistol Taser

KUALA LUMPUR: Polis terpaksa menembak seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman menggunakan pistol 'Taser' setelah dia mengamuk hampir lapan jam di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di Seri Rampai di sini awal Khamis.

Selepas pelbagai pendekatan untuk memujuknya gagal, seorang anggota polis melepaskan tembakan menggunakan pistol itu pada pukul 2.30 pagi bagi melemahkan lelaki itu sebelum dia ditahan.

Dalam kejadian itu, seorang penduduk menerima lima jahitan di kepala selepas dilempar kaca manakala beberapa anggota penyelamat cedera terkena serpihan kaca tingkap dan pinggan yang dilemparkan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang mengesahkan kejadian itu berkata lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Kejadian itu bermula pukul 7 malam apabila lelaki yang dikenali sebagai Atoi, 44, terpaksa disembur air dan tiga balang pemadam api debu kering apabila dia semakin agresif dengan membaling kaca dan mengacukan pisau ke arah pasukan penyelamat.

Seorang penduduk, Mahadzir Abd Hamid, 51, berkata, kejadian bermula apabila Atoi tiba-tiba memeluk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dari belakang lalu mengacukan pisau ke lehernya.

"Mangsa yang dikenali sebagai Umi, ketika itu sedang membeli air di gerai di tingkat bawah flet sebelum dihampiri Atoi. Apabila mangsa menjerit minta tolong Atoi melepaskan remaja tersebut dan melarikan diri ke rumahnya di tingkat satu.

Selepas Atoi menyedari kehadiran polis, dia terus masuk ke dalam rumah dan mengamuk di dalam bilik, kata Mahadzir kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, Atoi yang belum berkahwin tinggal bersama ayahnya yang berusia 80 tahun dan abangnya sejak empat tahun lepas.

Fauzi Ahmad, 48, yang menerima rawatan di HKL akibat kecederaan di bahagian kepala, berkata, lelaki itu pernah mengamuk semasa penduduk PPR itu menetap di perkampungan Semarak enam tahun lalu tetapi kejadian itu tidak serius.

Ketua Operasi dari Jabatan Pertahanan Awam Sudirman Ariffin pula berkata pasukan penyelamat menggunakan perisai Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mempertahankan diri selepas Atoi bertindak membaling kaca tingkap dan pinggan kaca yang disimpan di dalam almari bilik itu selain mengacukan pisau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain