suria

Khalid Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Khalid Abu Bakar, 54, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa Khamis.

Beliau dinaikkan pangkat berikutan persaraan Datuk Hussin Ismail, 57.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan kemampuan dan pengalaman Khalid untuk menggalas Pelan Strategik Lima Tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berikutan pelantikan tersebut, PDRM dijangka merombak beberapa jawatan kanan melibatkan pengarah-pengarah dan ketua-ketua polis negeri.

Selain Hussin, Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Mashuri Zainal telah pun bersara 18 Mac lalu.

Dua lagi pengarah bakal bersara ialah Pengarah Cawangan Khas, Datuk Akhil Bulat pada Ogos ini, manakala Pengarah Pengurusan, Datuk Robiah Abd. Ghani pula September nanti.

Dua pengarah lain bakal bersara tahun depan ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, pada September 2012 diikuti Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Syed Ismail Syed Azizan (Januari 2012).

Selain itu, dua timbalan pengarah iaitu Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Salleh Mat Rasid bakal bersara September 2012, manakala Timbalan Pengarah JSJ, Datuk Hadi Ho Abdullah (Jun 2012).

Dua ketua polis negeri pula disebut-sebut untuk mengisi kekosongan jawatan pengarah iaitu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, 51, dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, lingkungan 50-an.

Artikel Sebelum

Artikel Lain