suria

Sokongan Pengundi Dapat Tentukan BN Pertahankan 2/3 Majoriti - Muhyiddin

MIRI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mahu pengundi Sarawak bersatu bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi dalam pilihan raya negeri kali ke-10, Sabtu ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata semangat "Gelombang Biru" semakin meningkat dan mahu ia terus melanda Sarawak dan membawa kemenangan kepada calon-calon BN.

"Gelombang Biru sudah mula meningkat naik, semangat ini mesti diteruskan. Dalam beberapa hari ini, saya berharap dengan semangat Gelombang Biru ini dapat kita goncang (pembangkang).

"Saya yakin dengan sokongan rakyat terhadap calon-calon BN, kita akan dapat mempertahankan majoriti kerusi dua pertiga," katanya ketika menghadiri jamuan tengah hari bersama 900 ketua masyarakat di sekitar Bandaraya Miri di sini, Rabu. Turut hadir Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan yang mempertahankan kerusi Piasau, calon-calon BN Datuk Lee Kim Shin (Senadin) dan Andy Chia Chu Fatt (Pujut).

Muhyiddin turut menyeru supaya pengundi Cina terus menyokong calon-calon B Ndaripada SUPP supaya mereka turut sama memainkan peranan memperjuangkan kepentingan masyarakat itu dalam kerajaan BN akan datang.

Beliau berkata orang ramai seharusnya tidak terpedaya dan patah hati dengan jumlah orang yang menghadiri ceramah-ceramah pilihan raya parti pembangkang kerana ia tidak menggambarkan situasi yang sebenarnya.

Sejak beberapa minggu lepas, hasil kunjungan pemimpin-pemimpin BN termasuk beliau sendiri ke kawasan-kawasan di Sarawak mendapati sambutan masyarakat terhadap BN semakin meningkat, kata Muhyiddin.

Beliau mengingatkan pengundi Sarawak yang bakal mengundi Sabtu ini supaya tidak beremosi dalam membuat pilihan terbaik untuk masa depan.

"Jangan terpengaruh dengan pembangkang sehingga kita tidak ambil kira apa yang penting untuk masa depan kita," katanya.

Katanya kerajaan BN merupakan sebuah kerajaan yang serius dengan berbagai rancangan dan transformasi serta pembangunan tersusun termasuk dalam kerajaan, ekonomi, termasuk transformasi politik dalam BN itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha ini harus diteruskan supaya Malaysia dapat melonjak ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Dalam konteks ini, kita tidak mahu ada satu negara pun yang terabai dan terkecuali, termasuk Sarawak.

"Sarawak mesti menjadi sebahagian daripada keseluruhan pembangunan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain