suria

Saya Tak Mahu Anak Saya Jadi Ketua Parti - Taib

KUCHING: Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tidak mahu anaknya menjadi ketua Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggantikannya apabila beliau bersara kelak.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata beliau tidak mahu anaknya mewarisi kepimpinan beliau sepertimana yang berlaku dalam kepimpinan parti pembangkang seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dengan mengambil contoh Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sudah berusia 70 tahun namun masih lagi bergiat aktif dalam politik, mereka ini menurut Taib akan memastikan anak-anak mereka menjadi ketua parti.

“Bila jatuh sikit, kata dia hendak letak jawatan. Malah, Lim Karpal Singh akan turut memastikan anak-anak mereka menjadi ketua parti, begitu juga dengan PKR di mana (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan isterinya sebagai presiden dan anaknya sebagai naib presiden.

"Kalau orang lain, ia akan menjadi isu besar dan semua ini berat sebelah. Saya tidak mahu anak saya menjadi ketua parti," katanya.

Taib berkata, keputusan beliau kekal sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri pada 2006 adalah disebabkan kekalahan SUPP pada beberapa kerusi dan beliau perlu membimbing pemimpin baru untuk mengisi jurang kepimpinan dalam parti.

Menyentuh mengenai calon-calon muka baru Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini, Taib berkata beliau membuat pemilihan bukan hanya kerana mereka mampu menjadi "calon yang boleh menang" tetapi juga "boleh bekerjasama dengan kepimpinan baru."

"Mereka semuanya berkelayakan tinggi tetapi kurang pengalaman kerana semuanya baru kali pertama bertanding. Mereka dipilih supaya dapat menjadi pemimpin dan kesemua mereka adalah dalam 30-an dan awal 40-an dan akan mendapat lebih pengalaman," katanya.

Ditanya mengenai pencapaian pentadbirannya, Taib berkata: "Saya tidak tahu bagaimana untuk mengukur kejayaan saya. Saya fikir saya berjaya menyatukan semua bangsa untuk bekerja bersama-sama dengan didorong oleh keinginan untuk bergerak ke arah hala tuju yang sama, yang kami panggil "falsafah jalinan kebudayaan".

Artikel Lain