suria

"Saya Dah Kenal Pasti Pengganti " - Taib

KUCHING: Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau telah mengenal pasti calon pengganti dirinya sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut nama bakal penggantinya itu tetapi sekadar berkata telah membuat perancangan terperinci bagi memastikan peralihan kuasa berjalan secara teratur supaya calon ketua menteri itu bukan sahaja diterima oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak tetapi juga rakyat.

Beliau berkata, calon tersebut perlu mendapat sokongan daripada pemimpin lama yang dapat memberi nasihat bagi mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Saya mesti memerhati tokoh terbaik untuk mengambil alih (jawatan) daripada saya, dan boleh bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya dalam satu wawancara di sini Selasa.

Malah, kata beliau pasukan yang akan mengambil alih pucuk pimpinan pada masa ini perlu disusun supaya boleh bekerjasama, serta mampu memastikan segala perancangan dan dasar kerajaan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Ini semua kita ambil kira. Jika peralihan tidak (berjalan dengan) baik maka rakyat tentu marah," katanya dan menambah pemimpin negara sebelum ini turut melakukan peralihan kuasa secara teratur sebelum meletakkan jawatan seperti (perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein (perdana menteri kedua) dan begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri keempat).

"Kita sudah ada rancangan dengan pemimpin PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), saya pergi dulu dan kemudian diikuti oleh pemimpin yang kemudian daripada saya, manakala orang yang kita (telah) bimbing sudah dapat menjalankan tugas yang baik," katanya.

Abdul Taib, yang menjadi ketua menteri sejak Mac 1981 ketika berusia 45 tahun berkata, dalam memastikan barisan pemimpin muda mengambil alih tampuk pemerintahan negeri dengan baik dan lancar, beliau telahpun mewakilkan "sebahagian kuasa kepada banyak menteri."

"Saya sudahpun merupakan seorang kapten sahaja dalam masa 10 tahun yang lepas," katanya dan menambah pemimpin baru yang bakal menggantikannya juga telah dibimbingnya sejak 20 tahun lepas.

Taib, yang akan menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-75 bulan depan berkata, hasil pendedahan dan bimbingan, pemimpin pelapis yang bakal menggantikan beliau akan mempunyai kefahaman yang baik daripada segi perancangan dan pembentukan dasar-dasar kerajaan.

Daripada segi politik pula, penggantinya juga dapat diterima dan boleh bekerjasama dengan pemimpin dan anggota parti baik PBB dan juga BN, tambahnya.

Menyentuh calon-calon muka baru Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini, Taib berkata beliau membuat pemilihan bukan hanya kerana mereka mampu menjadi "calon yang boleh menang" tetapi juga "boleh bekerjasama dengan kepimpinan baru."

"Mereka semuanya berkelayakan tinggi tetapi kurang pengalaman kerana semuanya baru kali pertama bertanding. Mereka dipilih supaya dapat menjadi pemimpin dan kesemua mereka adalah dalam 30-an dan awal 40-an dan akan mendapat lebih pengalaman," katanya.

"Kalau orang lain, ia akan menjadi isu besar dan semua ini berat sebelah. Saya tidak mahu anak saya menjadi ketua parti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain