suria

Saksi Didakwa Berbohong Ketika Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa pegawai pemasaran Kumpulan Semesta Sdn Bhd, T. Sivanesan berbohong ketika memberi keterangan di dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Perkara itu ditimbulkan oleh Muhammed Shafee apabila mendapati keterangan Sivanesan dalam inkues Teoh di Mahkamah Majistret Shah Alam sebelum ini, saksi itu mendakwa tangannya tidak bergari ketika ditahan di pejabat SRM, Selangor pada 4 September 2008.

Muhammed Shafee, kemudiannya membaca keterangan Sivanesan itu di hadapan suruhanjaya: "Apabila tersedar, dalam keadaan samar-samar saya dapati saya hanya memakai seluar dalam dan terdapat bungkusan plastik yang berisi ketulan ais di bahagian depan kemaluan saya...pada masa itu 'tangan saya tidak bergari' dan saya terus membuang bungkusan ais itu".

Ketika disoal Muhammed Shafee adakah Sivanesan berbohong pada prosiding suruhanjaya semalam yang mendakwa tangan beliau (Sivanesan) digari ketika ditahan oleh pegawai SPRM, Sivanesan berkata: "Mungkin saya terlupa untuk masukkan keterangan itu semasa di inkues".

Jawapan yang diberikan oleh Sivanesan mendapat reaksi daripada pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang turut mempersoalkan tindakan yang dibuat oleh Sivanesan.

Foong: "Kenapa di inkues kamu beritahu yang kamu tidak digari ketika ditahan oleh SPRM?

Sivanesan: "Sebab pada masa itu saya ikut laporan polis yang dibuat pada 11 September 2008 dan keadaan saya pada ketika itu teruk kerana saya demam dan badan saya sakit".

Foong: "Bagaimana pula keadaan kamu ketika memberi keterangan di inkues?"

Sivanesan: "Ketika itu saya tidak demam dan sihat".

Muhammed Shafee turut memberitahu kepada suruhanjaya mengenai keterangan Sivanesan di inkues sebelum ini, yang menyatakan bahawa beliau telah dibelasah dan dirotan sehingga menyebabkan seluar dalam yang dipakai olehnya terkoyak di bahagian depan dan belakang.

Namun, ketika ditanya Muhammed Shafee di depan suruhanjaya sama ada bahagian kemaluan Sivanesan terluka akibat dibelasah dan dirotan, Sivanesan tidak dapat memberikan jawapan dan hanya berkata:"Saya tidak pasti ia luka atau tidak".

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan oleh Sivanesan mengundang kemarahan kepada Muhammed Shafee dan dengan nada yang tinggi, Muhammed Shafee berkata: "Sekiranya perkara ini berlaku sudah pasti kamu (Sivanesan) sudah tiada di dunia ini".

Sivanesan juga turut menafikan dakwaan Muhammad Shafee bahawa kehadiran beliau ke suruhanjaya dan semasa inkues kerana mempunyai agenda tersendiri dan berbohong serta mencari cerita untuk menyokong kes Teoh.

Sementara itu, ketika disoal Muhammed Shafee sama ada Sivanesan merupakan ahli DAP, Sivanesan berkata:"Ya saya ahli DAP dan juga BN".

Jawapan yang diberikan oleh Sivanesan mendapat reaksi negatif daripada Muhammed Shafee dan menyifatkan Sivanesan seorang yang tidak mempunyai sifat taat setia namun Sivanesan menjawab: "Kalau ada orang baik dengan kita, kita akan baik dengan dia".

Sivanesan turut menafikan dakwaan Muhammed Shafee bahawa tempat kerja beliau sekarang iaitu Syarikat Semesta adalah habuan yang diperoleh setelah memberi keterangan semasa inkues.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Prosiding bersambung petang ini. -BERNAMA

Artikel Lain