suria

PRN Sarawak: Penduduk Tak Perlu Ajaran Politik Pihak Luar

KUCHING: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, penduduk Sarawak tidak perlukan orang luar untuk mengajar mereka cara berpolitik.

Sebaliknya, beliau berkata, pemimpin dan penduduk Sarawak dan Sabah berpengalaman mentadbir negeri masing-masing.

"Kami tidak perlukan orang luar untuk mengajar cara-cara berpolitik, sebaliknya kami ada pengalaman dalam mentadbir negeri kami sendiri. Kami tahu mana emas dan permata. BN sentiasa mempunyai rekod baik dalam membangunkan Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek naik taraf Sungai Lazim di Kampung No.5 di sini, malam Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah bersama pemimpin tertinggi negeri itu berada di Sarawak bagi memberikan sokongan moral kepada pemimpin BN negeri pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, rakyat di negeri ini tidak boleh diperbodohkan demi kepentingan politik pihak tertentu kerana mereka hanya inginkan kemajuan dan pembangunan berterusan.

"Saya yakin rakyat tidak akan terpedaya dengan isu yang dieksplotasikan pihak pembangkang. Jangan biar emosi mengawal diri kita. Undi anda akan menentukan kehidupan anak cucu pada masa depan," katanya.

Tambah beliau, istilah 'simpanan tetap' yang kerap merujuk kepada Sabah dan Sarawak berikutan prestasi cemerlang calon BN pada pilihan raya umum turut menjadi igauan pembangkang termasuk dari segi sokongan rakyat.

Sementara itu, Musa memberitahu, beliau bersama pemimpin Sabah berkunjung ke negeri ini untuk memberikan sokongan kepada calon parti itu yang akan bertanding Sabtu ini.

"Selepas berbincang, kami memutuskan ada baiknya kami datang ke sini untuk memberi semangat kepada rakan yang akan bertanding walaupun tidak diundang.

"Sabah dan Sarawak ibarat adik-beradik yang saling memerlukan antara satu sama lain. Kehadiran kami diharap dapat membantu rakan parti mengekalkan kemenangan dengan undi besar," ujar beliau.

Menurutnya, pemimpin parti pembangkang yang sanggup datang dari Semenanjung mula menampakkan bayang-bayang di Sarawak dengan mengamalkan budaya politik kotor dalam usaha memenangi hati rakyat supaya mengundi mereka.

Artikel Lain