suria

Pengikut Al-Arqam Masih Aktif - JAIS

PETALING JAYA: Pengikut kumpulan ajaran yang diharamkan, Al-Arqam didakwa masih lagi bergiat aktif dan mengadakan perjumpaan dalam cubaan menghidupkan semula fahaman yang telah diharamkan sejak 1986.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shahrom Maarop pihaknya sentiasa memantau pergerakan saki baki ahli kumpulan Al-Arqam dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa memantau perkembangan pengikut kumpulan ini seperti , Fakrulrozi Abdullah sebab maklumat yang kita peroleh mereka ini ada buat perjumpaan.

“Cuma apabila kita buat serbuan, tiada aktiviti atau bahan mencurigakan yang kita rampas daripada mereka,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Bagaimanapun, Shahrom berkata agak sukar untuk kes tersebut didakwa di Mahkamah Syariah kerana bukti dan fakta kes yang dibuat tidak cukup.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kumpulan Al-Arqam didakwa cuba bergiat aktif dan mengadakan perjumpaan untuk menghidupkan semula ajaran mereka.

Selepas kematian pengasasnya, Ashaari Muhammad atau Abuya kegiatan Al-Arqam diambilalih oleh balunya yang dikenali dengan panggilan, Ummu Jah.

Pada 13 Mei tahun lalu, Ummu Jah kembali menggemparkan negara apabila 'Sidang Parlimen Roh'.

Mereka didakwa telah berhimpun sebanyak 18 kali sama ada di dalam negara termasuk di Bandar Country Homes, Rawang atau di Kampung Sungai Penchala mahupun di luar negara seperti Thailand, Jordan dan Mekah.

Pada setiap persidangan, Ummu Jah akan menyampaikan amanat atau dasar-dasar kepada pengikut ajaran Al-Arqam sambil mendakwa pengasas Tarikat Aurat Muhammadiah iaitu Sheikh Muhamad As-Suhaimi dan Ashaari sendiri telah muncul secara fizikal di Mekah.

Mengulas lanjut, Shahrom berkata, JAIS juga tidak akan berdiam diri dan setiasa bertindak sekiranya aduan mengenai aktiviti kumpulan al-Arqam diterima.

“Kes bekas pengikut Al-Arqam juga masih berjalan di mahkamah. Dia didapati bersalah kerana menggunakan tadika sebagai tempat menyebarkan fahaman kumpulan al-Arqam.

“Dia didapati bersalah kerana menyimpan buku-buku tulisan Abuya dan gambarnya di sebuah tadika di Kelana Jaya. Kita juga tahu kumpulan Al-Arqam telah menukar nama dan bergiat aktif dengan nama Rufaqa dan Al-Ikhwan,” katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua Majlis Agama Islam negeri sedang memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam.

Pergerakan Al-Arqam diasaskan Ashaari pada 1968 telah diharamkan kerajaan pada 1994 atas alasan ajarannya didapati menyeleweng.

Artikel Lain