suria

Penganggur Didenda RM6,000 Kerana Cederakan Tukang Masak

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan seorang tukang masak, termasuk menetak mangsa dengan sebilah parang, dua bulan lalu.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas S. Daianatan, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Daianatan bersama empat orang lagi yang masih bebas dengan niat bersama mencederakan S. Mohanadas, 27, dengan sebilah parang di bahagian kepala di bawah blok 100, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai Dalam, di sini pada pukul 3 pagi, 27 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian Mohanadas sedang menjalankan tugas rondaan rukun tetangga menegur tiga individu yang tidak dikenali sedang berkumpul.

Akibatnya, salah seorang daripada kumpulan itu menghamburkan kata-kata kesat dan memaki mangsa sebelum menumbuk pipi kiri dan membaling batu sehingga terkena bahagian tangan kiri mangsa dan mengugut bunuh sebelum melarikan diri.

Tidak lama kemudian tertuduh kembali bersama lima orang rakannya dan bertindak memukul dan menetak mangsa di tapak tangan dan dahi mangsa.

Terdahulu, Daianatan dalam rayuannya memohon dikenakan bon jaminan berkelakuan baik memandangkan dia masih muda dan adalah penanggung tunggal keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin membantah permohonan itu dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan membabitkan kepentingan mangsa dan awam.

"Walaupun tertuduh masih muda, dalam umur yang sudah mencecah 20 tahun dia sepatutnya tahu membezakan baik buruk perbuatannya itu.

"Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian penting dan boleh menyebabkan kematian mangsa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain