suria

Peguam & Restoran Ali Maju Tawar Khidmat Rundingan Guaman Percuma

Khairul Anwar Rahmat (tiga dari kanan) yakin SUKAGUAM akan mendapat sambutan masyarakat.Turut bersama-sama pada sidang media itu adalah Jawahar Ali Taib Khan (tiga dari kiri) bersama barisan peguam sukarelawan. Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Khairul Anwar Rahmat (tiga dari kanan) yakin SUKAGUAM akan mendapat sambutan masyarakat.Turut bersama-sama pada sidang media itu adalah Jawahar Ali Taib Khan (tiga dari kiri) bersama barisan peguam sukarelawan. Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Khairul Anwar Rahmat (tiga dari kanan) yakin SUKAGUAM akan mendapat sambutan masyarakat.Turut bersama-sama pada sidang media itu adalah Jawahar Ali Taib Khan (tiga dari kiri) bersama barisan peguam sukarelawan. Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Penubuhan Program Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) mampu membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan guaman secara percuma.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, penubuhan SUKAGUAM sekaligus dapat memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai hal berkaitan perundangan yang tidak diketahui oleh mereka.

Memperoleh sokongan daripada Pengerusi Rangkaian Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, Khairul Anwar berkata, penubuhan SUKAGUAM juga adalah sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dan juga saranan Majlis Peguam Malaysia di dalam menganjurkan khidmat masyarakat kepada umum.

"Seperti yang dimaklumakan oleh Majlis Peguam Malaysia, yuran guaman yang sebelum ini serendah RM2,000 akan naik sehingga RM10,000 disebabkan oleh sistem baru yang diperkenalkan oleh mahkamah di samping tempoh perbicaraan yang singkat.

"Situasi ini membimbangkan kerana akan ada sesetengah pihak yang akan berasa tidak terjamin kerana tidak dapat menegakkan keadilan di mahkamah kerana tidak mampu mengupah peguam," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Khairul Anwar berkata, melalui program ini, mereka akan menawarkan kepada masyarakat khidmat nasihat dan rundingan berkaitan dengan permasalahan seperti undang-undang keluarga (perkahwinan, perceraian, nafkah, wasiat dan harta pusaka), dan undang-undang berkaitan sivil dan jenayah.

Melalui program ini juga katanya, peguam-peguam terlibat dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

"Khidmat nasihat dan rundingan yang diberikan akan berunsurkan kepada panduan tepat bagaimana dan di mana mereka boleh mendapatkan kembali hak mereka atau menyelesaikan masalah mereka.

"Malah daripada sesi itu kita akan cuba membantu mendapatkan khidmat guaman ke mahkamah dengan bayaran minimum jika mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah," ujarnya.

Sementara itu, Jawhar Ali berkata, buat permulaan program ini akan diadakan dua kali sebulan iaitu pada setiap Jumaat minggu kedua dan ketiga di Restoran Ali Maju, Sri Rampai, Setapak, di sini.

Program yang akan bermula lusa ini pada pukul 3 hingga 6 petang turut akan disertai tujuh peguam berpengalaman membantu dan memberi khidmat nasihat guaman kepada orang ramai yang datang ke restoran itu.

"Buat masa ini kita akan bermula di restoran di Setapak dan beberapa lagi cawangan di Lembah Klang. Jika mendapat sambutan yang menggalakkan kita akan meneruskan program ini ke seluruh negara.

"Malah kita akan menyediakan makan dan minuman secara percuma kepada pelanggan yang singgah ke kaunter SUKAGUAM," katanya.

Artikel Lain