suria

Lelaki Miliki Ganja Dipenjara 15 Tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, memerintahkan seorang lelaki yang bekerja sendiri dihukum penjara selama 15 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki 1.88 kilogram ganja, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan supaya tempoh hukuman terhadap C. Jason, 30, bermula daripada tarikh dia ditangkap, 10 Mac 2009.

Jason mengaku memiliki ganja tersebut di hadapan Restoran Poh Yap, Jalan Anggerik Vanilla, nombor 31/N, Seksyen 31, di sini pada pukul 11.30 malam, hari yang sama.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperutukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam-peguam Gurbachan Singh dan Gurubachan Singh Johal.

Ketika diserbu oleh pihak polis, tertuduh yang menaiki kereta Proton Wira sedang memeluk sebuah beg hitam yang berisi dua ketulan mampat ganja tersebut.

Kereta itu milik bapa tertuduh dan dia dikatakan meminjam kereta itu dengan alasan mahu ke klinik, sehari sebelum kejadian.

Artikel Lain