suria

Jumlah Pengundi Yang Keluar Mengundi DUN Ba'Kelalan Bangkitkan Kebimbangan

LAWAS: Berapakah jumlah wang yang perlu dibelanjakan oleh seorang pengundi bagi kerusi DUN Ba'Kelalan yang berada di luar daerah jika mahu pulang mengundi Sabtu ini?

Pada masa ini, laluan paling cepat untuk sampai ke Lawas ialah dengan mengambil penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah dan selepas itu menaiki bas atau teksi yang membabitkan kos kira-kira RM500 seorang bagi keseluruhan tambang kapal terbang dan bas atau teksi.

Pengerusi Persatuan Lun Bawang (LBA) cawangan Kuching Richard Labung Ganang memberitahu Bernama jumlah itu mungkin agak konservatif namun ia boleh jadi lebih mahal daripada itu.

"Jika tiada perkhidmatan bas atau teksi, tambangnya berkemungkinan lebih mahal," katanya, sambil menambah jika saudara mara mereka menjemput di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), tambangnya boleh jadi lebih murah.

Penduduk setempat yang bekerja di luar Limbang lazimnya memilih untuk menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu ekoran perkhidmatan penerbangan yang terhad ke Limbang dan Lawas dari bandar-bandar utama di Sarawak.

Selepas mendarat di KKIA, perjalanan berkereta pula akan mengambil masa dua jam dari Kota Kinabalu ke Lawas dengan melepasi pusat pemeriksaan Imigresen Sipitang.

Bagi mereka yang datang dari Ba'Kelalan, keadaan cuaca turut menjadi faktor penentu memandangkan pemanduan ke tanah tinggi itu akan mengambil masa kira-kira enam jam jika cuaca baik manakala pada musim hujan pula, perjalanan mungkin kira-kira 12 jam kerana melalui jalan balak dan becak.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di Kuching sahaja terdapat lebih 100 pengundi bagi kerusi DUN Bukit Sari dan Ba'Kelalan.

Berikutan kos tinggi yang ditanggung oleh pengundi dari luar daerah, Labung berkata LBA Kuching telah mengusahakan inisiatif untuk mempermudahkan perjalanan pengundi.

"Saya telah berbincang dengan seseorang di Lawas tentang cadangan menyediakan peruntukan bagi perjalanan udara dari Kuching/Kota Kinabalu dan Kota Kinabalu/Lawas melalui jalan darat, saya harap mereka akan menimbangkannya dengan serius agar semua orang dapat balik mengundi," katanya.

Beliau berkata pengundi Lun Bawang yang berada di luar daerah boleh menghubungi beliau di pejabat LBA Kuching menerusi talian 082-232196 atau faks 082-232196 atau talian bimbit 019-8160098/013-8089999 dan satu lagi nombor faks 24 jam iaitu 082-649225.

Calon Barisan Nasional (BN) Willie Liau, yang akan menentang Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian, sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa pengundi mungkin tidak sempat sampai ke pusat pengundian pada masanya.

"Saya rasa mereka boleh tiba di Lawas tetapi untuk sampai ke Ba'Kelalan dengan keadaan jalan yang sukar diramalkan ketika ini boleh menjadi satu lagi masalah," katanya. Liau berasal dari Kampung Buduk Bui, Ba'Kelalan.

Kebimbangan Liau turut dikongsi oleh Presiden Rurum Kelabit Sarawak Gerawat Gala apabila beliau dipetik oleh akhbar tempatan baru-baru ini sebagai berkata BN mungkin berdepan masalah besar untuk membawa lebih 400 pengundi dari luar daerah, termasuk dari Semenanjung, memandangkan "semua penerbangan dan pengangkutan darat telah pun habis ditempah."

DUN Ba'Kelalan mempunyai 6,958 pengundi berdaftar dan menjadi menjadi kubu kuat BN sejak 1986.

Pada pilihan raya negeri 2006, Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak Nelson Balang Rining, yang mewakili BN, mengalahkan Baru Bian, yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak dengan majoriti tipis 475 undi. -BERNAMA

Artikel Lain