suria

Edar Dadah: Nelayan Ke Tali Gantung

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang nelayan selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan "monoacetymorphines, tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu terhadap Beh Boon Kim, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Beh dari Perak didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 125.5 gram dan dadah jenis "monoacetymorphines" seberat 23.2 gram di sekitar Jalan Medan Imbi Off, Jalan Imbi dekat sini pada pukul 3.30 petang, 22 Januari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum menurut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ghazali dalam penghakimannya berkata dakwaan tertuduh bahawa dia tidak memandu kereta Kancil yang mana di dalam kereta tersebut mengadungi kotak limau berisi dadah, adalah penafian semata-mata.

"Tertuduh dalam pembelaannya juga turut menyatakan bahawa dia tidak melihat isi yang ada di dalam kotak itu sewaktu diperiksa oleh beberapa anggota polis ketika serbuan, ini juga adalah penafian," katanya.

Ghazali berkata keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan keenam dan kelapan iaitu Inspektor Luther Nurjip dan Sarjan Sidek Paiman daripada Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi adalah konsisten.

"Kedua-dua saksi berkenaan menyatakan bahawa riak muka tertuduh ketika melihat isi kotak itu adalah terkejut dan takut sedangkan dalam pembelaan, Beh menyatakan dia langsung tidak terkejut melihat kotak limau itu," jelasnya.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menampilkan lapan saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

Tertuduh diwakili peguam Suzana Norlihan Alias. -BERNAMA

Artikel Lain