suria

Wanita Iran, Lelaki Nigeria Di Tahan Kerana Seludup Syabu

SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal dari Iran dan seorang penuntut rakyat Nigeria di tahan selepas tiba di negara ini melalui udara kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM850,000.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Supt Abdul Razak Md Zin berkata dalam kes pertama, wanita Iran itu membawa dadah yang disorok di dalam bengkung dipinggangnya ketika ditahan pada Khamis lepas (7 April) di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Beliau berkata ibu tunggal berusia 44 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan terutama bentuk badan dan gaya beliau berjalan selepas tiba dengan penerbangan dari Teheran pada pukul 11.30 pagi.

Hasil pemeriksaan badan, polis menemui lima paket syabu seberat 1.43 kg dengan nilai pasaran RM350,000 di dalam bengkung khas yang dipakai wanita yang tidak mempunyai pekerjaan itu, katanya dalam sidang akhbar di sini, Selasa.

Pada keesokan harinya, seorang lelaki rakyat Nigeria berusia 32 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 2.30 petang setelah polis menemui dua bungkusan mengandungi syabu seberat 2.1 kg bernilai RM500,000 di sembunyikan dalam beg pakaiannya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu merupakan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Lembah Klang dalam pengajian Bahasa Inggeris.

Abdul Razak berkata wanita terbabit ditahan reman sehingga Khamis ini manakala lelaki Nigeria itu direman sehingga Sabtu. Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata sejak awal tahun sehingga kini, seramai 42 rakyat asing ditahan kerana menyeludup dadah ke Malaysia, dengan majoriti terdiri daripada rakyat Iran iaitu 26 orang dan 10 rakyat Nigeria.

Setakat ini rampasan dadah di Selangor ialah 94.2 kg syabu, 25 kg ketamin dan 6.3 kg ganja, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain