suria

Stephen Abok Gagal Gugur Pertuduhan Dalam Skandal PKFZ

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Stephen Abok gagal untuk menggugurkan 26 pertuduhan alternatif terhadapnya berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan tersebut.

Hakim Asmadi Hussain membuat keputusan itu pada Selasa, dan menetapkan Khamis ini sebagai perbicaraan kes.

Selain Stephen, turut didakwa berkaitan skandal PKFZ ialah bekas Pengurus Projek KDSB, Law Jenn Dong dan arkitek dari BTA Architect, Bernard Tan Seng Swee.

Artikel tersebut bertajuk ' OSK Trustees Unaware od Cheating in PKFZ Case' yang disiarkan di The Edge Financial Daily pada 10 November 2010 lalu.

"Sekali pun mahkamah menerima artikel tersebut, akan terdapat dua versi yang berbeza, iaitu kononnya OSk tidak disedari bahawa mereka telah ditipu.

"Versi pihak pendakwaan pula mengatakan berdasarkan siasatan polis, OSK tidak akan meluluskan tuntutan jika tidak ditipu untuk berbuat demikian," katanya.

Justeru itu, Asmadi berpendapat adalah menjadi kewajipan mahkamah untuk mencari versi yang benar dan boleh dipercayai.

Stephen, 52, yang merupakan seorang daripada tiga tertuduh yang didakwa melakukan penipuan dalam pelaksanaan projek PKFZ memfailkan permohonan untuk menggugurkan 26 pertuduhan alternatif yang dikenakan terhadapnya pada 29 Disember 2010.

Dia yang diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik menghujahkan bahawa artikel tersebut jelas menunjukkan bahawa tiada penipuan berlaku yang bermaksud pertuduhan alternatif tersebut adalah tidak berasas.

Pada prosiding sama, Asmadi turut membenarkan supaya perbicaraan kes induk skandal PKFZ terhadap Stephen, bekas pengurus projek KDSB Law Jenn Dong dan arkitek dari BTA Architect Bernard Tan Seng Swee yang sepatutnya dijalankan hari ini ditangguhkan kepada Khamis.

Permohonan penangguhan dibuat oleh peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Bernard.

"Pihak pembelaan baru sahaja diserahkan dengan dokumen-dokumen yang bersifat teknikal dan kami memerlukan masa untuk mendapatkan arahan anak guam dan meneliti dokumen tersebut kerana ia akan melibatkan saksi pertama pendakwaan," katanya.

Asmadi membenarkan permohonan tersebut dan memberikan penangguhan terakhir kerana bersetuju bahawa dokumen tersebut adalah dokumen teknikal.

Beliau juga menetapkan tarikh-tarikh lain sekitar Jun, Julai dan Ogos sebagai tarikh perbicaraan bagi mengelakkan berlaku pertembungan dengan kes-kes lain.

Dalam kes ini, Stephen, Law, 52 dan Bernard, 49, mengaku tidak bersalah pada 8 November atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi bagi dua projek di PKFZ.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik untuk sistem 33kV bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Mereka juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem elektrikal 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Bernard juga mengaku tidak bersalah pada 8 November lalu terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007 dan 8 Oktober 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk mempercayai bahawa sistem 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan.

Justeru, tindakan mereka telah mendorong OSK Trustees membayar RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Stephen dan Bernard mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Bernard dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Pada prosiding itu, Law diwakili peguam bela Tan Hock Chuan.

Artikel Lain