suria

"Saya Dah Kenal Pasti Penganti Dan Saya Tak Mau Anak Saya Jadi Ketua Parti" - Taib

KUCHING: Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau telahpun mengenal pasti calon pengganti dirinya sebagai ketua menteri Sarawak.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut nama bakal penggantinya itu tetapi sekadar berkata, telah membuat perancangan terperinci bagi memastikan peralihan kuasa berjalan secara teratur supaya penggantinya bukan sahaja diterima oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak tetapi juga rakyat. Taib berkata, calon tersebut perlu mendapat sokongan daripada pemimpin lama yang dapat memberi nasihat bagi mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Saya mesti memerhati tokoh terbaik untuk mengambil alih (jawatan) daripada saya, dan boleh bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya dalam satu wawancara di sini hari ini.

Malah, kata beliau pasukan yang akan mengambil alih pucuk pimpinan pada masa ini perlu disusun sebagai satu pasukan yang boleh bekerjasama, serta mampu memastikan segala perancangan dan dasar kerajaan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Ini semua kita ambil kira. Jika peralihan tidak (berjalan dengan) baik maka rakyat tentu marah," katanya dan menambah pemimpin negara sebelum ini turut melakukan peralihan kuasa secara teratur sebelum meletakkan jawatan seperti (perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein (perdana menteri kedua) dan begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri keempat).

"Kita sudah ada rancangan dengan pemimpin PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), saya pergi dulu dan kemudian diikuti oleh pemimpin yang kemudian daripada saya, manakala orang yang kita (telah) bimbing sudah dapat menjalankan tugas yang baik," katanya.

Taib, yang menjadi ketua menteri sejak Mac 1981 ketika berusia 45 tahun berkata, dalam memastikan barisan pemimpin muda mengambil alih tampuk pemerintahan negeri dengan baik dan lancar, beliau telahpun mewakilkan "sebahagian kuasa kepada banyak menteri."

"Saya sudahpun merupakan seorang kapten sahaja dalam masa 10 tahun yang lepas," katanya dan menambah pemimpin baru yang bakal menggantikannya juga telah dibimbingnya sejak 20 tahun lepas.

Taib, yang akan menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-75 bulan depan berkata, hasil pendedahan dan bimbingan, pemimpin pelapis yang bakal menggantikan beliau akan mempunyai kefahaman yang baik daripada segi perancangan dan pembentukan dasar-dasar kerajaan.

Daripada segi politik pula, penggantinya juga dapat diterima dan boleh bekerjasama dengan pemimpin dan anggota parti baik PBB dan juga BN, tambahnya.

Menyentuh calon-calon muka baru Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini, Taib berkata beliau membuat pemilihan bukan hanya kerana mereka mampu menjadi "calon yang boleh menang" tetapi juga "boleh bekerjasama dengan kepimpinan baru."

"Mereka semuanya berkelayakan tinggi tetapi kurang pengalaman kerana semuanya baru kali pertama bertanding. Mereka dipilih supaya dapat menjadi pemimpin dan kesemua mereka adalah dalam 30-an dan awal 40-an dan akan mendapat lebih pengalaman," katanya.

Menyentuh pentabirannya sehingga kini, Taib berkata beliau telahpun menyusun semua pentabiran negeri supaya lebih sesuai dengan keadaan masa kini iaitu daripada segi pentadbiran hutan dan tanah, dan sedang dalam proses menukar proses pentadbiran agensi lain supaya lebih berdaya saing.

Ditanya mengenai pencapaian pentadbirannya, Taib berkata: "Saya tidak tahu bagaimana untuk mengukur kejayaan saya. Saya fikir saya berjaya menyatukan semua bangsa untuk bekerja bersama-sama dengan didorong oleh keinginan untuk bergerak ke arah hala tuju yang sama, yang kami panggil "falsafah jalinan kebudayaan".

Mengenai dakwaan beliau sudah terlalu lama memegang jawatan ketua menteri, Taib berkata, beliau terpaksa bertahan selepas pilihan raya negeri 2006 kerana Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah kalah beberapa kerusi dan beliau perlu "isi jurang itu untuk membimbing pemimpin baru."

Beliau berkata, dakwaan pembangkang mengenai perkara itu bagaikan "mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih" contohnya pemimpin DAP Lim Kit Siang, kini berusia 70 tahun, aktif sejak empat dekad lepas, telah "beberapa kali hendak letak jawatan, tetapi tidak jadi.

"Bila jatuh sikit, kata dia hendak letak jawatan. Malah, Lim dan Pengerusi DAP Karpal Singh, juga (berumur) 70 tahun, yang aktif dalam politik sejak 1970-an, turut memastikan anak-anak mereka menjadi ketua parti, begitu juga dengan parti baru PKR (Parti Keadilan Rakyat) di mana (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan isterinya sebagai presiden dan anaknya sebagai naib presiden.

"Kalau orang lain, ianya akan menjadi isu besar dan semua ini berat sebelah. Saya tidak mahu anak saya menjadi ketua parti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain