suria

Polis Lumpuhkan Sindiket Ah Long Beri Pinjaman Hingga RM1 Juta

GEORGE TOWN: Mereka tinggal di rumah mewah yang dikelilingi oleh pintu pagar besi namun apa yang menyedihkan adalah mereka tidak menjalankan urusan perniagaan yang sah kerana mereka adalah ahli kumpulan sindiket peminjam wang tidak berlesen atau ah long.

Polis menahan empat lelaki dan merampas 491 cek bernilai RM13 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bayu Mutiara, Bukit Mertajam, pada Jumaat lepas.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Roslee Chik berkata bahawa dalam serbuan pada 9.30 pagi itu, polis turut merampas wang tunai RM33,854.

Katanya ketika serbuan, keempat-empat lelaki berumur antara 22 dan 37 tahun itu dipercayai sedang menjalankan urusan berkaitan pinjaman wang tidak berlesen.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan mereka di rumah terbabit dengan memberikan pinjaman antara RM1,000 dan RM1 juta," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Roslee berkata dalam operasi itu, polis turut merampas tujuh komputer riba, satu set komputer, alat pencetak, telefon bimbit, 371 sampul surat mengandungi dokumen berkaitan pinjaman wang, 14 buku cek pelbagai bank, 62 keping kad ATM pelbagai bank dan 1,360 keping kad kutipan pinjaman wang.

"Risikan dilakukan selama seminggu," katanya.

Polis percaya sindiket itu menjalankan operasi di sekitar Pulau Pinang sejak tahun lepas dan telah berpindah sebanyak dua kali bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

"Ini adalah rampasan terbesar membabitkan kegiatan ah long untuk tahun ini melibatkan kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak," kata Roslee.

Artikel Lain