suria

Polis Ambil 4 lagi Keterangan Dalam Kes Kematian Ahmad Sarbani

KUALA LUMPUR: Polis telah merekodkan empat lagi kenyataan dalam penyiasatan ke atas kematian penolong pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Datuk Amar Singh berkata, sehingga hari ini polis telah merekodkan kenyataan daripada 20 orang termasuk ahli keluarga Ahmad Sarbani, kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kakitangan Jabatan Kastam.

“Makmal jenayah juga kini sedang melihat rakaman cctv yang diambil dari pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane dan juga telefon bimbit Ahmad Sarbani,” katanya.

SAC Amar bercakap demikian kepada para pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Selasa.

Ahmad Sarbani telah ditemui mati pada jam 10.20 pagi di tingkat bawah bangunan SPRM di Jalan Cochrane pada Rabu lalu. Beliau disyaki terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

Beliau tiba di pekarangan pejabat SPRM itu menaiki motosikal seorang diri pada jam 8.26 pagi untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat yang telah menyoal siasatnya berhubung kes tangkapan besar-besar lebih 60 pegawai dan kakitangan kastam baru-baru ini.

Artikel Lain