suria

Peralihan Kuasa: Najib Mahu Generasi Muda Bekerjasama Dengan Pemimpin

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata generasi muda perlu bekerjasama dengan pemimpin sedia ada supaya proses peralihan kuasa di Sarawak kelak dapat dilaksanakan secara teratur.

Beliau meminta golongan berkenaan supaya tidak membuat sesuatu tanpa memikirkan dengan sedalam-dalamnya akan akibatnya agar tidak menggadai masa depan mereka.

"Jangan kita dengar hasutan daripada pihak lain. Pilihlah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang akan memimpin sebaik-baiknya untuk masa depan kita bersama," katanya pada acara Malam 1Malaysia di Padang Merdeka di sini malam Isnin.

Beliau berharap acara itu, yang diadakan untuk menghimpunkan para belia, khususnya yang berada di bandar raya Kuching Selatan, Utara dan Padawan, memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi dan menjalin hubungan dengan pemimpin.

Terdahulu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika menyentuh isu yang sama meminta generasi muda menyokong dan menyambut baik pemimpin baru yang bakal menggantikan beliau.

"Masa anda akan tiba. Bila saya berhenti nanti, saya ingin menyerahkan kepada generasi awaklah yang akan menyokong pemimpin (baru) yang akan terus memajukan Sarawak," katanya.

Taib, yang berulang kali menyuarakan hasratnya untuk berundur daripada jawatan Ketua Menteri, yang disandangnya sejak 1981, berkata rakyat patut bersikap matang dalam politik.

Semalam, Najib berkata peralihan kepimpinan negeri bakal dilakukan pada waktu yang sesuai dan telah dipersetujui Taib bagi memastikan ia berjalan lancar.

Lebih 1,000 orang terutama golongan belia hadir pada acara malam ini, yang dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Annuar Zain, Hafiz AF7 dan beberapa artis lain.

Najib berlepas pulang ke ibu negara malam Isnin selepas acara itu. -BERNAMA

Artikel Lain