suria

Najib Lancar Pelan Induk Pasaran Modal Kedua

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal kedua atau CMP2 sebagai penyambung kepada pelan pertama yang sangat berjaya, di mana nilai pasaran modal diunjurkan berkembang kepada RM5.8 trilion di dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui pengantarabangsaan yang lebih meluas, daripada RM2 trilion sekarang ini.

Perdana Menteri berkata CMP2 akan berkuat kuasa serta merta di bawah pelan perniagaan tahunan Suruhanjaya Sekuriti, dengan perubahan pada kerangka kawal atur bagi menarik dana dan kawal atur produk bagi memotong karenah yang tidak perlu dan mendorong kepada pengeluaran kelulusan yang pantas.

Dengan tujuan menghasilkan potensi sebenar pasaran, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata satu skim dua pelesenan yang baharu akan diperkenalkan bagi memudahkan para peniaga di dalam pasaran ekuiti menjadi peniaga berlesen di dalam pasaran derivatif.

Terdapat juga pelan bagi menambah bilangan Hari Empunya Pedagang hampir tiga kali bagi membolehkan lebih banyak wakil peniaga menjadi peniaga khusus, katanya pada persidangan "Invest Malaysia 2011," yang disertai oleh peneraju industri, pengurus dana dan pelabur institusi serta lebih 850 delegasi dari lebih 200 perbadanan Malaysia dan dari seluruh dunia. Yang turut hadir ialah Pengerus

i Bursa Malaysia Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Kumpulan Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia yang baharu, Datuk Tajuddin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

"Ini hanyalah tiga daripada program CMP2 dan ia akan berkuat kuasa mulai suku ketiga tahun ini tanpa gangguan, tanpa kelewetan, pantas, melalui tindakan berkesan.

"Kita perlu melakukan segala terdaya bagi memastikan pasaran modal Malaysia tidak hanya berkembang, tetapi berkembang dengan risiko minimum di dalam persekitaran yang sangat dikawal atur," katanya, sambil mengesahkan semula keseriusan kerajaan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia.

CMP pertama berjaya mengembangkan pasaran modal Malaysia kepada RM2 trilion walau pun dimulakan dengan asas yang sempit, katanya.

"Pasaran saham kita bersesuaian kepada lebih banyak syarikat senaraian awam berbanding mana-mana yang lain di dalam Asean, pasaran bon kita adalah yang ketiga terbesar di seluruh Asia apabila ditanda aras berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pasaran modal Islam kita menerajui dunia," katanya.

Unjuran semasa saiz pasaran modal dijangka berkembang lebih dua kali kepada RM4.5 trilion menjelang 2020, dan dengan lebih pengantarabangsaan yang lebih meluas di mana angka itu boleh meningkat sehingga RM5.8 trilion bagi tempoh yang sama, katanya.

Najib berkata salah satu keutamaan utama CMP2 ialah bagi mengukuhkan peranan pasaran modal di dalam menggalakkan pembentukan modal dari peringkat permulaan hingga kepada pembiayaan usaha teroka berinovatif, projek besar yang baharu dan teknologi hijau yang maju ke hadapan.

Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana bagi teroka modal dan industri ekuiti swasta sambil menggalakkan langkah menjadikan rasmi kawal atur yang terlepas pandang dan menyediakan insentif dan sokongan yang disasarkan.

"Bagi meningkatkan transaksi berskala besar, akses terhadap pasaran bon akan dilebarkan, yang mengukuhkan keinginan pelabur untuk mendapatkan kepelbagaian produk hutang dan risiko kredit, mengembangkan penyertaan industri pengurusan pelaburan dan pelabur runcit di dalam pelaburan berpendapatan tetap dan menambah baik infrastruktur pasaran," katanya.

Antara lain, katanya simpanan Malaysia yang besar dijangka memacu pertumbuhan pantas industri pengurusan pelaburan, dengan aset yang diuruskan diunjurkan meningkat daripada RM377.4 bilion pada 2010 kepada jumklah yang besar sebanyak RM1.6 trilion pada 2020.

Pertumbuhan kukuh di dalam industri pengurusan aset adalah ciri-ciri utama mana-mana negara yang sedang dalam proses peralihan menjadi satu negara maju sepenuhnya.

Sebagai cerminan kepada keyakinan yang semakin meluas di dalam industri pengurusan pelaburan Malaysia, katanya kadar penembusan industri saham amanah dijangka hampir berganda daripada 18 peratus pada 2010 kepada 34 peratus pada 2020 - paras yang biasanya dikaitkan dengan pasaran maju.

Ini, sebaliknya, akan meningkatkan secara besar pengwujudan aset menjana pendapatan bagi memenuhi keperluan para pelabur institusi domestik, katanya.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan keefisienan perantaraan di dalam mengitar semula simpanan domestik kepada pembiayaan pembangunan ekonomi yang pelbagai dan rancak, satu kajian semula kesan strategi pelaburan institusi terhadap keseluruhan sistem akan dilakukan, khususnya bagi memastikan penggunaan secara optimum dana GLIC.

"Perantaraan Simpanan negara yang lebih berkesan akan memberi kesan lebih meluas terhadap langkah mempercepatkan pembentukan modal, penyertaan sektor swasta, kecairan pasaran sekondari, pengambilan risiko dan pengembangan produk serta kepelbagaian perkhidmatan," katanya.

Katanya usaha akan turut dilakukan untuk menarik pakar pengurus dana bagi menggalakkan kepelbagaian lebih meluas di segi strategi pelaburan, pengukuhan hubungan antara simpanan negara dan pertumbuhan ekonomi.

Langkah mengembangkan bilangan produk pada pasaran derivatif adalah satu lagi perkembangan yang penting dalam usaha meningkatkan kecairan pasaran, menambah baik perdagangan merentasi pasaran dan risiko lindung nilai.

Khusus bagi sektor kewangan dan perbankan Islam, Najib berkata industri itu mempunyai tanggung jawab memindahkan fokus kewangan Islam yang menunpukan ke arah keperluan domestik kepada usaha meraih peluang pertumbuhan dari perantaraan pelaburan antarabangsa dan transaksi korporat.

Langkah pengantarabangsaan pasaran modal adalah keperluan awal yang penting bagi mengukuhkan hab Pasaran Modal Islam Malaysia - yang ditetapkan meningkat hampir tiga kali daripada RM1.1 trilion pada 2010 kepada RM2.9 trilion pada 2020.

CMP2 menggariskan strategi bagi meningkatkan cadangan nilai yang khusus yang ditawarkan oleh Malaysia bagi kepelbagaian aktiviti perantaraan Islam, yang termasuk meningkatkan keupayaan menstrukturkan transaksi rentas sempadan bagi mempastikan penembusan ke pasaran sukuk antarabangsa.

Sebagai tambahan, Suruhanjaya Sekuriti akan bekerjasama dengan pemain industri utama bagi mengembangkan kepelbagaian produk dan perkhidmatan pembrokeran saham yang mematuhi syariah dan membina jumlah kritikal massa bagi pembangunan pengurusan portfolio daratan.

Satu strategi permulaan akan dibangunkan bagi meningkatkan kepelbagai strategi pelaburan Islam, khususnya di dalam pemupukan perkhidmatan pengurusan dana Islam bernilai tambah yang besar seperti modal teroka yang mematuhi syariah dan industri ekuiti swasta yang melabur berasaskan prinsip Islam di segi pelaburan tanggung jawab sosial dan perkongsian aktif.

Suruhanjaya Sekuriti akan turut menggalakkan peralihan lebih meluas dari pendekatan pematuhan syariah kepada pendekatan berasaskan syariah, dengan menggalakkan inovasi dan boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa pada tahap yang lebih tinggi, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain