suria

Nafi Dakwaan Sengaja Reka Cerita Nampak Teoh - SPRM

KUALA LUMPUR: Penolong Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak, Raymond Nion Anak John Timban pada Selasa menafikan dakwaan yang kononnya beliau sengaja mereka-reka cerita ketika ternampak Teoh Beng Hock pada awal pagi, 16 Julai 2009 di pejabat SPRM Selangor.

Raymond turut tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Choew Wee dari Majlis Peguam kerana pada waktu itu (6 pagi), beliau memang ternampak kelibat seorang lelaki Cina yang berbaring di sofa berhadapan bilik Pegawai Perakam SPRM Mohd Nazri Ibrahim.

Bagaimanapun, Raymond tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh kerana keadaan pada ketika itu gelap dan samar-samar.

"Saya tidak nampak dengan jelas siapa lelaki itu, tetapi saya tahu dia adalah lelaki Cina, dan mungkin dia adalah Teoh," katanya.

Raymond juga turut bersetuju dengan Choew bahawa beliau tidak pasti sama ada 'lembaga' yang dilihatnya berbaring di atas sofa dalam keadaan hidup atau tidak.

Ketika disoal Choew bagaimana Raymond mengetahui lelaki Cina itu adalah Teoh sedangkan beliau tidak mengenali Teoh sebelum ini, Raymond berkata: "Saya hanya mendapat tahu lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh apabila diberitahu mengenai perkara itu oleh Hairul Ilham ketika berjumpa dengan Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM itu di tempat letak kereta di Putrajaya, lebih kurang 4.30 petang, 16 Julai 2009".

Raymond, yang juga saksi ke-30 suruhanjaya itu, turut bersetuju dengan Choew bahawa lelaki Cina yang berbaring di sofa pada pagi, 16 Julai 2009 adalah Teoh selepas berbincang bersama dengan pegawai SPRM yang lain ketika kembali ke pejabat.

Beliau menjelaskan berdasarkan perbincangan bersama dengan pegawai-pegawai SPRM yang lain, beliau merupakan orang yang terakhir melihat Teoh pada pagi, 16 Julai 2009, selain pernah melihat Teoh untuk kali pertama di ruang tamu Penmas (Bilik Pendidikan Masyarakat SPRM, Selangor) pada pukul 12 tengah malam, 15 Julai 2009.

Raymond turut memberitahu prosiding, beliau dapat mengecam Teoh selepas pegawai penyiasat, Mohd Anuar Ismail menunjukkan gambar beliau (Mohd Anuar) bersama dengan Teoh yang juga setiausaha politik exco Selangor itu.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM bagaimana beliau (Raymond) mengetahui bahawa lelaki itu adalah berbangsa Cina, Raymond berkata: "Saya lihat berdasarkan warna kulit yang cerah, dan saya menganggap lelaki Cina yang berbaring di sofa adalah sama dengan lelaki Cina di dalam gambar bersama Hairul Ilham".

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding bersambung petang. -BERNAMA

Artikel Lain