suria

Masyarakat Cina Sambut Baik Jaminan Perdana Menteri

KUCHING: Masyarakat Cina menyambut baik jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung perubahan kepimpinan yang bakal berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Sarawak.

Rata-rata daripada mereka yakin bahawa pelan perubahan itu akan dilaksanakan dalam penggal selepas pilihan raya negeri ke-10 yang akan diadakan pada 16 April depan.

Lim Siew Mui, 32, seorang peniaga kedai runcit berkata, perubahan berkenaan dilihat dapat memberi peluang kepada pemimpin yang lebih muda menerajui kerajaan negeri dengan idea-idea baru demi kepentingan rakyat.

"Baguslah Perdana Menteri cakap sudah bincang baik-baik dengan Ketua Menteri.

"Kami faham, mahu tukar pemimpin mesti kena ambil masa, tak boleh terus tukar saja, banyak perkara perlu selesai dulu," katanya ketika ditemui.

Tambah beliau, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah menjalankan tugasnya dengan baik sepanjang 30 tahun pemerintahannya di Sarawak dan kini tiba masa untuk pemimpin muda mengambil alih pemerintahan.

Pada Ahad, Najib memberi jaminan bahawa perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri akan berlaku apabila tiba waktu yang sesuai sambil meminta rakyat Sarawak agar bersabar dan tidak terburu-buru.

Sementara itu, seorang pemandu teksi yang hanya mahu mahu dikenali sebagai Voon berkata, janji Perdana Menteri itu menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat Pusat ataupun negeri sememangnya memahami kehendak rakyat.

"Serupa (konsep) 1Malaysia yang Najib cakap, rakyat perlu didahulukan, sekarang memang nampak kerajaan tahu apa yang rakyat mahu, sebab itu mereka bincang mahu tukar pemimpin," katanya.'

Kata pemandu teksi berusia lewat 40an itu lagi, permintaan Najib agar rakyat bersabar menanti perubahan kepimpinan itu mempunyai asas yang kukuh memandangkan ia melibatkan pentadbiran sebuah kerajaan.

"Perdana Menteri suruh tunggu, kita tunggu saja lagipun beliau sudah janji," katanya.

Bagi Sharon Hui, 26, seorang pelajar kolej swasta, beliau berharap perubahan kepimpinan yang akan dilakukan itu dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa memberi kesan sama ada dari segi politik mahu ekonomi.

Menurut beliau, kestabilan politik dan ekonomi penting bagi memastikan negeri ini dapat ditadbir dengan baik tanpa sebarang masalah yang akhirnya akan merugikan rakyat.

"Berubahlah dengan baik dan teratur, kematangan ahli-ahli politik amat dituntut bagi mengelakan sebarang perkara tidak baik berlaku," katanya.

Artikel Lain