suria

Kerajaan Pahang Tidak Muflis - Adnan

KUANTAN: Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menyangkal dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri itu telah muflis sehingga terpaksa memohon bantuan syarikat dan badan-badan berkanun.

Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas kerana kerajaan negeri sentiasa mampu menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada kumpulan sasar selain meneruskan projek pembangunan di seluruh negeri.

"Mana ada kerajaan negeri muflis, jika benar kerajaan negeri sedemikian, bagaimana kita masih mampu memberi bantuan kepada rakyat miskin, orang kurang upaya serta menyediakan peruntukan tahunan kepada Yayasan Pahang untuk menaja pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah meneruskan pengajian ke universiti," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) berkenaan langkah yang diambil syarikat dan badan berkanun kerajaan negeri bagi membantu kewangan kerajaan negeri Pahang.

Adnan berkata semua syarikat dan badan berkanun kerajaan yang ditubuhkan atas tujuan perniagaan mencatatkan keuntungan berdasarkan prestasi kewangan tahunan yang membanggakan.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya memberi bantuan pada awal penubuhannya tetapi pada masa ini, mereka yang menjana pendapatan dan beroleh keuntungan tidak lagi mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri.

"Sebaliknya, kerajaan negeri masih mempunyai tanggungjawab ke atas mana-mana badan berkanun yang ditubuhkan untuk menyediakan khidmat sosial bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat dipenuhi seperti Lembaga Muzium Pahang, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman," katanya.

Menjawab soalan Mohd Shohaimi Jusoh (BN-Lepar) mengenai cadangan gaji minimum kepada kakitangan kerajaan dan swasta, Adnan berkata ia bukan alat utama dalam menyelesaikan masalah kemiskinan serta meningkatkan produktiviti pekerja.

Sebaliknya, kata beliau, gaji minimum akan membolehkan pekerja mendapat ganjaran adil daripada apa yang dihasilkan sekali gus dapat menampung keperluan asas kehidupan masing-masing.

Beliau berkata gaji minimun juga tidak seharusnya memberi kesan negatif kepada kedudukan ekonomi daripada aspek daya saing dan kemasukan pelaburan asing.

"Jika gaji minimum ditetapkan begitu tinggi maka ia juga boleh menjejaskan ekonomi dan jika rendah maka ia menyebabkan berlaku ketidakseimbangan antara upah yang diterima dan produktiviti yang dihasilkan.

"Oleh demikian, kerajaan masih meneliti perkara ini dengan serius dan mencari mekanisme paling sesuai termasuk mengkaji dengan mendalam kesannya secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain