suria

Kematian Ahmad Sarbani: 20 Orang Diambil Keterangan

KUALA LUMPUR: Seramai 20 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian penolong pengarah Kastam Selangor di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini 6 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis sudah mengambil keterangan daripada individu yang mempunyai keperluan dan kaitan dengan kes berkenaan.

"Bermula pada hari pertama kejadian dan sejak kertas siasatan kes ini dibuka sehinggalah pada hari ini, polis telah merekodkan sebanyak 20 keterangan.

"Kesemua keterangan ini adalah daripada pihak yang kita rasa mempunyai keperluan yang boleh membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, Selasa.

Beliau berkata pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) masih meneruskan siasatan bagi melengkapkan beberapa maklumat sebelum kes itu dapat dirujuk kepada pihak atasan termasuk pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Jabatan kini masih siasat beberapa perkara, ini termasuk kandungan maklumat dalam telefon bimbit milik penolong pengarah itu selain rakaman CCTV di bangunan pejabat SPRM sebagai bukti siasatan," katanya.

Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan pejabat SPRM itu setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia.

Ketika ditanya mengenai keputusan ujian makmal bagi mengenal punca sebenar kematian Ahmad Sarbani, Amar berkata polis masih menunggu keputusan dari Jabatan Forensik.

"Laporan itu masih belum dapat diperolehi lagi, pihak kita akan tunggu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain