suria

Bekas Pengurus Katering Bebas Tuduhan Bunuh Isteri

SHAH ALAM: Selepas dua tahun berhadapan dengan tuduhan membunuh isterinya, seorang bekas pengurus katering, Mohafri Mohamed dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Mohafri menyambut keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki pada Selasa, dengan ucapan syukur manakala ahli keluarganya yang berada di mahkamah menangis dan saling berpelukan mengucapkan tahniah sesama sendiri.

Dia yang kelihatan tenang bagaimanapun tidak dapat menahan air mata apabila berpeluang untuk mendukung anak sulungnya, Nurin Irdina, 9, yang tersenyum apabila diperlakukan begitu.

"Saya terkedu, tidak mampu untuk berkata-kata. Saya mahu mulakan kehidupan baru dan ia akan bermula dengan keluarga saya," katanya.

Mohafri juga kelihatan teruja apabila memberitahu, dia akan dapat berjumpa semula dengan anak keduanya, Maryam Ardiana, 7, selepas dua tahun tidak bertemu kerana kanak-kanak tersebut berada di bawah jagaan keluarga Fazlina.

"Sekarang saya mahu dapatkan kembali Maryam, dan mulakan kehidupan sekali lagi," katanya.

Berita pembebasan Mohafri bagaimanapun agak lewat dikongsi dengan ibunya yang dfahamkan berada di surau kompleks mahkamah sewaktu Mohtarudin membacakan penghakimannya.

Sebaik sahaja melihat kelibat ibunya, Mohafri menuju ke arah wanita tersebut dan mencium tangannya sambil diperhatikan oleh ahli keluarga lain.

Terdahulu, Mohtarudin membebaskan Mohafri, 38, tanpa dipanggil untuk membela diri atas tuduhan membunuh isterinya fazlina Ahmad, 38, yang kemudian mayatnya disumbatkan ke dalam almari pakaian.

Dia didakwa melakukan jenayah tersebut antara pukul 5 hingga 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya, di nombor 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang, dekat sini.

Berdasarkan keterangan pada perbicaraan, mangsa yang merupakan pesakit asma kronik ditemui di dalam almari dalam keadaan dibalut dengan kain selimut tebal manakala hidung dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Dalam penghakimannya, Mohtardin berkata, kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil seorang saksi penting, iaitu pembantu rumah Mohafri bernama Yayok telah menyebabkan berlaku kelompangan dalam kes pendakwaan.

Yayok berada di rumah tersebut semasa kejadian bunuh berlaku dan dia juga merupakan individu yang memberitahu mengenai kelakuan Mohafri yang didakwa melarangnya daripada menyentuh almari pakaian itu dengan alasan bahawa almari hendak roboh kepada rakan mangsa, Safiyaton Omar.

Safiyaton, 39, yang merupakan pegawai undang-undang dipanggil sebagai saksi pendakwaan pertama juga adalah individu yang membuat laporan polis mengenai kehilangan Fazlina.

"Pihak pendakwaan mengatakan akan memanggil Yayok, tetapi sehingga kes ditutup Yayok tidak pernah dipanggil dan hanya dikemukakan percakapannya kepada pihak polis mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

"Saya putuskan kegagalan memanggil Yayok menyebabkan percakapan tersebut sebagai dengar cakap dan tidak boleh diterima kerana dia tidak boleh disoal balas dan tiada nilai keterangan," katanya.

Berdasarkan keterangan pegawai penyiasat (IO), Mohtarudin merumuskan bahawa IO tersebut mempunyai pengetahuan bahawa Yayok adalah seorang pendatang tanpa izin dari Indonesia yang telah diusir pulang ke kampung halaman.

"Kegagalan IO untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan Yayok hadir ke mahkamah adalah amat dikesalkan. "Terdapat beberapa cara untuk memastikan kehadiran Yayok terutamanya IO sendiri mengakui bahawa wanita itu adalah saksi yang penting," katanya.

Justeru itu, Mohtarudin berkata adalah tidak selamat untuk mahkamah memanggil Mohafri membela diri atas tuduhan tersebut.

"Jika Mohafri memilih untuk berdiam diri, adakah mahkamah tanpa ragu-ragu akan mensabitkan dia dengan pertuduhan yang membawa hukuman mati mandatori?

"Oleh itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan," tambah Mohtarudin.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mendengar keterangan 16 saksi pendakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala Mohafri diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Artikel Lain