suria

Anggota Veteran ATM Dinasihati Daftar Dengan Jabatan Veteran

SIBU: Lebih 140,000 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta agar mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Veteran ATM supaya mereka dapat menikmati apa jua faedah yang disediakan oleh kerajaan menerusi jabatan berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, keseluruhannya terdapat lebih 300,000 anggota veteran ATM tetapi malangnya hanya 160,000 sahaja yang mendaftar dengan jabatan yang diwujudkan khas untuk menjaga hal ehwal mereka.

Malah katanya di Sarawak sahaja terdapat lebih 70,000 veteran ATM.

"Mungkin ramai yang tidak tahu atau tidak sedar dengan kewujudan jabatan ini. Kita akan cuba sedaya upaya untuk menghubungi para veteran kita sebaik yang mungkin," kata Latiff selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada lapan veteran ATM di sini Selasa.

Dr Latiff berkata, Jabatan Veteran ATM mula beroperasi pada 1 Januari 2001 dan objektif utamanya ialah untuk mendraf polisi berkaitan melindungi kepentingan anggota-anggota veteran termasuklah menjaga kebajikan serta meningkatkan status sosio ekonomi mereka.

Ini termasuklah bantuan kebajikan dan pelajaran untuk keluarga mereka.

Di bawah bantuan yang disediakan, ahli keluarga anggota veteran yang tidak berkemampuan termasuk anak-anak boleh memperolehi bantuan persekolahan, insentif pembelajaran serta bantuan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam.

Anggota veteran juga, kata Dr Latiff boleh mendapat bantuan perubatan atau peralatan perubatan dan bantuan sara hidup.

Sepanjang tempoh 10 tahun ini, katanya lagi, lebih kurang RM200 juta telah dibelanjakan untuk membantu 105,500 anggota veteran ATM yang memerlukan bantuan dan juga keluarga mereka di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, Dr Latiff meminta anggota-anggota veteran supaya mengikuti contoh Persatuan Bekas Perajurit Sibu yang sangat aktif dalam menjalankan pelbagai program untuk para anggotanya.

Artikel Lain