suria

Rais Yakin Rakyat Sarawak Kenang Budi

KUCHING: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata beliau yakin rakyat Sarawak tetap akan bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mengharungi pilihan raya negeri 16 April ini.

Rais berkata ini berdasarkan pemerhatian beliau sekian lama, rakyat Sarawak adalah golongan yang tidak lupa budi. "Orang Sarawak tidak akan lupa budi, budi pembangunan dan budi perjuangan bersama," katanya kepada wartawan selepas melancarkan saluran baru siaran televisyen "TVi" di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching di sini, Ahad.

Apabila ditanya mengenai suasana pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ini, Rais secara berseloroh berkata:

"Saya tak fikir ada tsunami apa-apa, sebab gunung berapinya tidak ada. Ia cukup damai".

Menurutnya BN sentiasa bersabar dengan tindakan pihak tertentu yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap parti itu dan menurutnya BN akan memberikan penjelasan berhubung semua tuduhan berkenaan.

Mengenai TVi, saluran khas yang memaparkan perkembangan di Sarawak dan Sabah yang disiarkan di saluran 180 Astro yang beroperasi 24 jam, Rais berkata ianya akan memainkan peranan menguar-uarkan pembangunan yang dilaksanakan oleh kedua-dua kerajaan negeri.

TVi akan memberi pengkhususan kepada pembangunan dan sosio-budaya negeri Sarawak dan Sabah dalam usaha kerajaan mengurangkan jurang informasi antara kedua-dua negeri itu dengan Semenanjung. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain