suria

Polis Cari Seorang Bekas Kerani Akaun Atas Kehilangan RM1.7 Juta

GEORGE TOWN: Polis kini sedang mencari seorang bekas kerani akaun berusia 40 tahun bagi membantu kes kehilangan RM1.7 juta wang sebuah syarikat pembekal peralatan pejabat yang beroperasi di George Town.

Kerani wanita itu, dipercayai telah memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun kawannya selepas memanipulasikan akaun syarikat berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Pulau Pinang, Penolong Komisioner Roslee Chik berkata, suspek berkenaan berjaya memindahkan RM1.5 juta tanpa disedari oleh syarikatnya ke dalam akaun kawannya sejak tahun 2007.

“Kawannya itu, seorang pekerja salon kecantikan yang telah menerima komisyen hasil bersubahat telah ditahan Jumaat lalu.

"Pihak polis telah mendapatkan perintah untuk membeku akaunnya yang mengandungi wang berjumlah RM231,000," kata Roslee.

Menurutnya, perbuatan mereka telah terbongkar apabila pengurus syarikat tersebut membuat pemeriksaan ke atas akaun syarikat selepas suspek tidak lagi datang bekerja.

Kata Roslee, suspek berkenaan mula bekerja di syarikat itu pada tahun 2003 dan berjaya mengelabui mata majikannya dengan membuat pindaan ke atas penyata bulanan bank dan hanya menyerahkan salinan fotokopi setiap kali majikannya meminta penyataan berkenaan untuk pemeriksaan.

Siasatan awal mendapati, transaksi haram telah dilakukan antara tahun 2007 sehingga awal tahun ini.

Polis kini sedang menjejaki Chuah Siew Lay, 40, untuk membantu penyiasatan. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Inspektor Siti Mazira Zakaria (tel: 013-9890900) atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain