suria

Pelan Perancangan Kepimpinan Sarawak Telah Dibincang - Najib

KUCHING: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa perubahan kepimpinan dalam pentadbiran negeri Sarawak akan berlaku pada masa yang sesuai kerana ia sudah dirancang dengan teliti dan teratur.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap rakyat bersabar menanti perubahan kempimpinan yang dijanjikan itu tanpa bersikap terburu-buru.

"Jangan bimbang, kita buat perancangan supaya perubahan akan berlaku dalam kepimpinan di negeri Sarawak secara terancang dan teratur.

"Saya sudah runding dengan Ketua Menteri (Tan Sri Abdul Taib Mahmud), memang beliau bersetuju untuk melakukan perubahan kepimpinan di negeri Sarawak.

"Percayalah kepada saya, (tiba) waktu yang sesuai, perkara ini akan kita lakukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini malam Ahad.

Selain itu Perdana Menteri turut menasihati rakyat supaya tidak termakan hasutan pembangkang yang mahukan perubahan berlaku secara mendadak kerana dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada Sarawak.

"Janganlah kita terburu-buru dan dengar hasutan daripada pembangkang, kalau kita buat secara mengejut, keadaan tidak menentu akan berlaku," katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, pembangkang bersikap berat sebelah apabila membangkitkan isu umur terhadap kepimpinan BN di Sarawak.

Tambah Pengerusi BN itu lagi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga masih enggan berundur dalam bidang politik walaupun sudah sekian lama.

"Sebenarnya kalau mereka main isu umur, pembangkang juga banyak orang yang sudah berumur.

"Dalam pembangkang pun ramai pemimpinnya sudah berusia. Lim Kit Siang sudah 42 tahun dalam politik, Karpal Singh berusia 72 tahun dan Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sudah 80 tahun,” katanya.

Selain itu Najib turut membidas slogan 'undi untuk berubah' yang dibawa pembangkang pada pilihan raya Sarawak ke-10 kerana menurutnya BN sudah banyak melakukan perubahan demi kesejahreraan rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain