suria

Najib Umum Peruntukan RM4.5 Juta Untuk Penyelidikan Ikan Empurau

BETONG: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM4.5 juta untuk penyelidikan ikan empurau, sejenis ikan air tawar yang hampir pupus di Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada majlis perjumpaan pemimpin bersama rakyat di gelanggang futsal pekan Spaoh, kira-kira 50km dari sini, Isnin.

"Ini supaya membolehkan ikan itu bukan sahaja dapat dinikmati oleh rakyat Sarawak tetapi juga oleh penduduk Semenanjung apabila ia dihasilkan dengan banyaknya kelak," katanya.

Harga seekor ikan empurau matang seberat tiga kilogram boleh mencecah antara RM2,800 hingga RM3,000. Ikan berkenaan hidup di hulu sungai berair jernih kini hampir pupus disebabkan oleh pencemaran alam sekitar.

Pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 penduduk Spaoh itu, Najib berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk pembangunan negeri Sarawak, termasuk RM5.7 bilion di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi tempoh 2010-2012.

"Jumlah yang diperuntukkan kepada Sarawak adalah yang terbesar berbanding dengan negeri-negeri lain. Di bawah dasar 1Malaysia, projek yang dilaksanakan tidak mengira etnik dan subetnik.

"Kerajaan begitu komited untuk membela nasib rakyat terutama di luar bandar agar menjelang 2012, 90 peratus rakyat mendapat bekalan air dan api," katanya.

Najib juga berkata kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan janjinya untuk menyukat tanah adat (NCR) kepunyaan rakyat Sarawak yang banyak menimbulkan perbalahan di kalangan penduduk luar bandar tentang hak milik.

"Dengan adanya peruntukan itu (untuk menyukat tanah NCR) yang tahun lepas RM20 juta, tahun ini RM30 juta dan tahun depan RM30 juta, tuduhan pembangkang bahawa kerajaan tidak bertindak untuk menyukat tanah-tanah adat adalah satu pembohongan besar".

Kerajaan tidak meminggirkan rakyat luar bandar berhubung hak milik tanah adat mereka, kata Perdana Menteri.

Najib turut membidas parti-parti pembangkang khususnya "parti satu mata" kerana mereka sudah ketinggalan dengan memainkan isu-isu pembangunan pada pilihan raya negeri 16 April ini.

"Dulu pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun tidak pernah datang ke Spaoh dan membawa pembangunan. Hanya sekarang baru dia pergi dari satu tempat ke satu tempat untuk menaburkan janji.

"Tidak ada cara parti itu untuk melaksanakan janjinya sedangkan BN bukan sahaja membuat janji tetapi dengan yakin boleh deliver (menunaikan janji)."

Beliau berkata PKR bukan bermakna "parti keadilan rakyat" tetapi "parti keluar ramai-ramai" berikutan ramai pemimpin atasan parti itu telah keluar meninggalkannya.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, calon BN untuk DUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat dan calon BN untuk kerusi DUN Saribas Mohamad Razi Sitam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain