suria

Lelaki Menyamar Pegawai Kastam Ditahan

KAJANG: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kastam dan disyaki terlibat dalam 'rampasan' pelbagai jenis rokok Suria bernilai RM2,000 di sebuah kedai runcit, Sabtu lepas, ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Mewah di sini, Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob berkata lelaki tempatan berumur 30-an itu ditahan pada pukul 3 pagi hasil maklumat orang awam.

"Hasil serbuan itu, kami merampas sebuah van jenis Kia Pregio bersama kuncinya, rokok Suria bernilai RM2,000 dan wang tunai RM3,000 yang dipercayai hasil peras ugut terhadap peniaga kedai itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azman berkata lelaki terbabit kini ditahan di Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Sementara itu dalam kes berasingan, enam lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi kenderaan jenis Waja, ditahan secara berasingan sejak 7 Feb lepas hingga semalam.

Azman berkata mereka yang berumur 30 hingga 45 tahun itu ditahan bersama-sama empat kereta Waja yang dipercayai dicuri dan polis merampas pelbagai jenis kunci pendua kereta curi itu.

Beliau berkata ada antara mereka yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi kenderaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain