suria

Tambahan Anggota Bagi Jabatan Kerajaan Hanya Dibuat Jika Tiada Pilihan - Najib

SUBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penambahan perjawatan bagi jabatan kerajaan hanya akan dilakukan sekiranya tiada pilihan lain.

Selain mengelak birokrasi, katanya, pertambahan jawatan tidak boleh dilakukan begitu sahaja kerana ia memerlukan perbelanjaan wang yang besar.

"Saya minta kita fikir secara kreatif terlebih dahulu dan selepas itu barulah kita boleh membuat keputusan yang sebaik-baiknya sebab kita nak sebuah perkhidmatan awam yang efisien dan produktif.

"Kita tak boleh nak terus tambah perjawatan begitu sahaja. Nanti, kita akan mendapatkan sebuah birokrasi yang paling besar dan ini memerlukan perbelanjaan wang rakyat yang besar dan kita tak boleh gunakan wang rakyat sewenang-wenangnya," katanya ketika mengulas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu penambahan 800 anggota.

Najib berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan 1Malaysia Cardiff City Junior Football League (1MCC-JFL) di Pusat Penyelidikan Getah, Sungai Buloh dekat sini, Ahad.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi 1MCC Datuk Chan Tien Ghee dan jurulatih bola sepak kebangsaan K.Rajagobal.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaafar dilaporkan berkata, penambahan anggota tersebut diperlukan bagi memantapkan aspek keselamatan membabitkan bangunan dan individu yang berurusan di pejabat suruhanjaya itu di seluruh negara.

Najib berkata walaupun beliau tidak biasa membuat ulasan terhadap mana-mana permohonan yang dibuat oleh jabatan kerajaan namun beliau memberi jaminan untuk mengkaji dengan teliti permohonan tersebut dan kerajaan tiada masalah untuk meluluskannya sekiranya berasas.

Beliau berkata kerajaan kini menekankan kepada pemikiran secara kreatif apa yang boleh dilakukan tanpa pertambahan jawatan. "Mungkin ini yang harus dilihat dahulu, maknanya apa program kita atau apa-apa perubahan yang hendak dilakukan sama ada dengan kekuatan yang sedia ada sudahpun memadai untuk kita melakukan apa yang dihasratkan,"katanya.

"Itu langkah pertama, keduanya, sekiranya amat diperlukan kita juga mesti melihat sama ada kita boleh menugasi semula atau tidak anggota sedia ada. Langkah kreatif ini jika dilaksana boleh membantu menjimatkan wang negara," katanya.

Sekiranya semua pilihan itu tidak berjaya, barulah penambahan anggota akan dilakukan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain