suria

Pilihan Raya Negeri Sarawak: Undi Pos Bermula Rabu Ini

KUCHING: Proses pengundian pos bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 akan dijalankan pada Rabu ini (13 April) untuk polis, manakala tentera selama dua hari iaitu Rabu dan Khamis.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak DatukTakun Sunggah berkata undi pos bagi pilihan raya negeri kali ini adalah bagi pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis serta pasangan mereka, pelajar di luar negara dan petugas SPR, yang kesemuanya berjumlah 18,363 orang.

"Undi pos akan dikeluarkan esok (ke kem-kem dan balai polis), sementara bagi pelajar di luar negara yang seramai 34 orang, kertas undi akan dihantar melalui Pos Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Buku Undi Pos di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) Kuching di sini, Ahad.

Sementara itu, beliau berkata pada hari pengundian Sabtu ini, kesemua kertas undi akan dikira di 1,739 pusat mengundi, manakala 10 lagi pusat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, proses mengira kertas undi akan dilakukan secara berkelompok di Balai Raya Song.

"Ini adalah kerana 10 pusat mengundi tu jauh ke dalam...jadi untuk membawa keluar mengambil masa yang lama. Jadi kita kumpulkan di satu tempat untuk memudahkan urusan mengira undi," katanya.

Takun berkata jika semuanya berjalan lancar, keputusan pengundian di semua kawasan DUN akan dapat dilakukan sebelum pukul 11 malam.

Beliau berkata setakat ini kempen pilihan raya berjalan dengan lancar, walaupun ada aduan tetapi ianya tidak serius dan telah dapat diselesaikan dengan baik.

Mengenai aduan pembangkang mengenai poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipasang di negeri itu walaupun mereka tidak bertanding, katanya walaupun mereka tidak bertanding, Najib dan Muhyiddin merupakan pemimpin tertinggi parti BN yang bertanding di kesemua 71 kerusi DUN di negeri itu dan ia tidak menyalahi peraturan.

"Ianya bukan satu kesalahan kerana mereka adalah pemimpin BN, yang berdaftar dengan SPR sebagai gabungan parti. Jadi poster pemimpin BN boleh dipasang di semua 71 kawasan pilihan raya.

"Ini berbeza dengan Pakatan Rakyat, mereka bukanlah satu gabungan parti yang berdaftar dengan SPR.

"Seperti DAP, mereka bertanding di 15 kawasan dan poster pemimpin mereka hanya boleh dipasang di kawasan yang mereka tandingi. Kawasan lain tidak boleh.

"Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun poster pemimpin mereka hanya terhad di kawasan mereka bertanding," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain