suria

Pemuda BN Mahu Polis Segera Selesai Siasatan Video Seks Elak Spekulasi

BUKIT MERTAJAM: Pemuda Barisan Nasional (BN) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiapkan segera siasatan berhubung video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki mirip wajah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan imej negara.

Pengerusinya Khairy Jamaluddin berkata penyiasatan yang terlalu lama boleh menimbulkan spekulasi dan sudah tiba masanya perkara sebenar didedahkan kepada umum agar dapat memberi keadilan kepada pihak terlibat.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata siasatan yang mengambil masa terlalu lama akan memberi tanggapan negatif seolah-olah orang yang kena tuduh dinafikan keadilan.

"Di sini apa yang penting adalah kita cari kebenaran tetapi siasatan yang terlalu lama akan menimbulkan spekulasi dan saya juga tidak faham mengapa polis mengambil masa yang lama untuk menyiasat kes berkenaan kerana siasatan sudah berlanjutan hingga dua minggu.

"Cepatlah siasat..kes itu mudah untuk diselesaikan demi keadilan semua pihak iaitu orang yang kena tuduh termasuk BN yang dituduh menjadi dalang penyebaran video terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah One Malaysia (JOM) Peringkat Pulau Pinang di Kampung Machang Bubuk, di sini, Ahad.

Minggu lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mencadangkan agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks selepas video terbabit didedahkan Datuk T sebelum dimuat turun dalam internet.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang sepakat menolak cadangan agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video seks yang dikaitkan dengan Anwar, apabila Pengerusi DAP Karpal Singh, dilaporkan berkata ia tidak diperlukan sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada siasatan polis yang sudah dimulakan.

Khairy berkata pihaknya juga bukan mahu memberi tekanan kepada PDRM kerana tahu akan kepakaran yang tinggi diperlukan dalam menyelesaikan kes berkenaan tetapi berharap ia dapat diselesaikan dengan segera. "Apabila penyiasatan selesai dan ada pihak yang tidak berpuashati, barulah kita tubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memastikan kes itu mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Khairy melawat sebuah rumah milik Mohamad Fuad Ismail, 40, yang dibaikpulih dalam tempoh enam hari bermula Isnin lepas.

Pengubahsuaian rumah berkenaan yang menelan belanja RM5,000 diusahakan bersama Pusat Latihan Giat Mara Machang Bubuk. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain