suria

Pampasan Sehingga RM475,000 Kepada Penduduk Kg Datu Sibu

SIBU: Sebanyak 177 keluarga asal yang memiliki lot rumah di Kampung Datu Lama di sini, yang terbabit dalam projek penempatan semula, akan diberi pampasan sehingga RM475,000.

Mereka akan dipindahkan ke satu tapak baru yang dinamakan Kampung Datu Baru, kira-kira tiga kilometer dari tapak asal, yang terletak di tebing Sungai Igan, sebatang anak sungai Batang Rajang.

Nilai pampasan diberikan berdasarkan kepada saiz tanah, mengikut poin, dengan 25 poin bersamaan suku ekar.

Seorang anak yang telah berkahwin yang tinggal serumah dengan ketua isi rumah dianggap sebagai satu keluarga dan diberikan satu poin, bernilai RM19,000.

Penghulu Kampung Datu Baru dan Lama, Hussain Abdul Rasit kadar pampasan itu yang dipersetujui antara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA), pemilik-pemilik lot dan pihak pemaju adalah satu penambahbaikan berbanding sebelum ini ialah RM12,000 se poin.

"Buat permulaan sebanyak 18 keluarga asal dari Blok D akan dipindahkan ke penempatan baru itu tidak lama lagi, sebaik sahaja urusan menandatangani perjanjian selesai," katanya kepada Bernama di sini.

Pemindahan selanjutnya akan membabitkan penduduk dari Blok E (sebanyak 26 keluarga asal); Blok F (55 keluarga asal) dan Blok G (78 keluargan asal) sebaik saja masalah perpindahan mereka diselesaikan.

Kerja-kerja meratakan tapak bagi projek penempatan semula itu akan dilancarkan esok oleh Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Projek penempatan semula itu merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Kampung Datu yang mula dilaksanakan kerajaan pada awal tahun 1990-an, bagi memberi laluan kepada pembangunan dan pembesaran bandar Sibu.

Hussain berkata melalui perjanjian yang dipersetujui itu, pemaju akan membina tiga kategori rumah dengan harga berbeza iaitu Kategori A berharga RM250,000, B (RM200,000) dan C (RM150,000).

Menurutnya pemilihan jenis rumah adalah bergantung kepada nilai pampasan dan kemampuan penduduk berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain