suria

Kenyataan Akhbar Datuk Seri Idris Jala Mengenai Isu Injil

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesahkan bahawa penyelesaian 10-Perkara telah berjaya membuka jalan bagi pelepasan 35,100 naskah kitab Injil versi Bahasa Malaysia yang disita di Pelabuhan Klang dan Kuching.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata dua pengimport dan pemilik kitab Injil itu ialah Bible Society of Malaysia (BSM), pemilik sah 5,100 naskah kitab itu yang disita di Pelabuhan Klang dan Gideon, pengimport 30,000 naskah di Kuching.

"BSM telah mengambil 5,100 naskah kitab di Pelabuhan Klang dan presidennya Lee Min Choon berkata mereka menyambut baik penyelesaian 10-Perkara itu," katanya dalam kenyataan di sini malam Sabtu.

dris berkata BSM amat menghargai penyelesaian 10-Perkara yang dikemukakan oleh kerajaan yang tidak hanya merupakan penerimaan perjanjian 2005 tetapi juga merangkumi perlindungan tambahan untuk memastikan bahawa insiden baru-baru ini yang mencetuskan pertikaian itu tidak berulang.

BSM juga begitu tersentuh dengan kerendahan hati kerajaan dalam mengakui kelemahan ketika mengendalikan isu kitab Injil dalam Bahasa Malaysia dan Indonesia dan permohonan maafnya, katanya.

"BSM tanpa ragu-ragu, memaafkan. BSM juga tidak mengikat kerajaan dari sebarang kewajipan, undang-undang atau moral untuk memberi pampasan bagi 5,000 nskah kitab Injil yang tidak boleh dijual dan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan kerajaan," katanya.

Idris berkata BSM juga menyambut baik komitmen kerajaan untuk bekerjasama dengan semua kumpulan agama bagi menangani isu antara agama.

"Ini khususnya signifikan berikutan BSM memohon kerjasama kerajaan dalam tugas masa depan untuk menambah lagi bekalan kitab bagi penganut Kristian yang berfasih dalam Bahasa Malaysia yang tidak mempunyai kitab itu sejak beberapa tahun lepas.

"Dalam soal ini, BSM meminta kerajaan berunding secara langsung dengan mereka dalam sebarang isu berkaitan kitab Injil, mereka selaku pengeluar utama dan pengimport Injil versi Bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia," katanya.

Sebagai maklum balas kepada penyelesaian 10-Perkara tu, Idris berkata Gideon secara rasmi memaklumkan kepadanya dan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa mereka akan mengambil kesemua 30,000 naskah kitab Injil yang disita di Kuching. Idris berkata beliau telah meminta pegawai KDN mengecap perkataan "Dibatalkan oleh KDN" ke atas cop sedia ada yang diletakkan pada naskah kitab itu sebelum ini.

Katanya pejabat KDN sedang melakukan proses 'stamping' semua 30,000 naskah dengan perkataan "Dibatalkan oleh KDN" sebelum Gideon mengambil naskah tersebut.

Idris berkata beliau juga berjumpa dengan Persatuan gereja Sarawak (ACS) di Kuching hari ini bagi menjelaskan penyelesaian 10-Perkara itu.

Katanya di Sabah dan Sarawak, kitab Injil boleh dicetak dan diimport tanpa sebarang sekatan termasuk tiada cop mohor atau nombor siri.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata: "Ini sememangnya perkembangan positif dan saya hargai sikap positif dan bertimbang rasa BSM dan Gideon dalam menangani hal ini. Saya ingin mengesahkan penyelesaian 10-Perkara ini merupakan keputusan kolektif Kabinet."

Pada 15 Mac lalu, kerajaan mengeluarkan arahan supaya melepaskan kesemua kitab Injil versi Bahasa Malaysia yang telah disita di Pelabuhan Klang dan Kuching.

Bagaimanapun, kumpulan Kristian yang mengimport kitab itu tidak mengambilnya kerana tidak bersetuju dengan cop mohor dan nombor siri yang dicop dalam naskah tersebut.

Ini mengakibatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh timbalan perdana menteri, beberapa menteri dan Peguam Negara, bagi membincangkan hal itu dan mencari keadah penyelesaian yang adil.

Selepas mengambil kira pandangan berbeza pelbagai kumpulan agama termasuk orang Islam, kerajaan memutuskan penyelesaian 10-Perkara antara lain membenarkan pengimportan kitab Injil dalam semua bahasa termasuk versi Bahasa Malaysia dan Indonesia ke negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain