suria

Kandungan Telefon Bimbit Ahmad Sarbani Disiasat

KUALA LUMPUR: Kandungan maklumat dalam telefon bimbit milik penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane Rabu lepas, kini dalam siasatan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata telefon bimbit milik allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed itu antara bukti yang disiasat Unit Forensik selain rakaman CCTV bangunan pejabat itu dan bukti di tempat kejadian.

"Unit Forensik sentiasa mencari bukti-bukti penting bagi melengkapkan laporan mereka sama ada dari telefon bimbit, CCTV atau kembali semula ke tempat kejadian.

"Setiap hari memang ada petunjuk baru tapi kita tidak boleh dedahkan kerana boleh menganggu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata sejak kes itu dilapor kan, polis menjalankan sisatan terperinci dengan sentiasa memanggil individu baru atau memanggil semula mana-mana 16 individu yang telah diambil keterangan sebelum ini bagi membantu siasatan.

Ku berkata siasatan dapat diselesaikan apabila semua laporan forensik diperoleh dan keterangan saksi selesai diambil.

"Kita semua perlu tunggu. Jangan bagi kami 'deadline' bila kes boleh diselesaikan," katanya yang tidak menolak kemungkinan kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain