suria

Tiga Beranak Terbunuh Dalam Kemalangan Ngeri

KUALA LUMPUR: Tiga beranak terbunuh dalam satu kemalangan ngeri selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rawang, awal pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Ismail Ibrahim, berkata dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa Mohd Farid Idris, 29, dan isterinya Eirlenna Asrani, 28, bersama anak mereka Muhammad Faiz Hakimi, 4, maut di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati, kereta Proton Satria yang dipandu oleh Mohd Farid sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dan dipercayai telah dilanggar dari belakang oleh sebuah lori bermuatan tar.

"Lori terbabit kemudiannya menyeret kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sejauh 70 meter sebelum kereta tersebut jatuh ke bawah tebing sedalam dua meter," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lori yang dipandu Duraisingam Karuppiah @ Veerakumah, 40, kemudiannya jatuh menghempap ke atas kereta yang dinaiki tiga beranak tersebut.

"Mohd Farid bersama isteri dan anaknya yang duduk di tempat penumpang belakang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala pemandu lori itu tidak cedera," katanya.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan ke kampung di Taman Melayu Jaya, Kampar, Perak dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu lori tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain