suria

Taib Yakin Sekolah Persendirian St Joseph Jadi Pelengkap Kurikulum Nasional

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkeyakinan bahawa sekolah persendirian St. Joseph di sini, yang akan memulakan operasi menjelang Januari tahun depan, akan melengkapkan kurikulum pendidikan nasional untuk menghasilkan pelajar berkualiti di Sarawak.

Taib, salah seorang bekas pelajar paling cemerlang dari sekolah menengah St Joseph yang sedia ada di sini, berharap sekolah persendirian itu akan dapat membentuk 'anak muda yang memiliki sahsiah' menerusi pendidikan berkualiti untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan negara.

"Kenangan di St Joseph adalah kenangan ketika meningkat dewasa. Pada masa itu, guru melayan kita dengan rasa hormat, mereka mengkaji keperibadian kita dan berusaha untuk mendidik kita berdasarkan individu itu sendiri," kata beliau pada majlis jamuan malam perjumpaan semula pelajar lama St Joseph di sini malam Jumaat.

Taib, yang diiringi isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, turut menjanjikan sebulan gaji beliau untuk menubuhkan sekolah persendirian itu, yang akan membabitkan kos RM13 juta, termasuk perbelanjaan operasi permulaan berjumlah RM3 juta.

Beliau mendapat pendidikan di sekolah menengah St Joseph di sini sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Australia pada penghujung 1950-an.

Terdahulu, Ketua Biskop John Ha, yang bertanggungjawab dalam sekolah mubaligh Katolik di kawasan kekuasaan ketua biskop Kuching, berkata sekolah persendirian itu akan menjadi sebuah institusi tidak ermatlamatkan keuntungan sebagai pelengkap kepada sekolah St Joseph, yang mula dibangunkan oleh pelopor Mill Hill, yang tiba di Sarawak pada 1881.

Ia komited ke arah memenuhi pelbagai cabaran dalam gelombang baru pembangunan di negeri ini, katanya.

Pemimpin dan golongan profesional yang tidak terhitung banyaknya dari St Joseph menjadi bukti tahap pendidikannya yang tinggi dengan moto dalam bahasa Latin "Ora Et Labora", bermaksud doa dan usaha. - BERNAMA

Artikel Lain