suria

Pembangkang Hanya Jual Janji - PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata parti pembangkang menerusi manifestonya iaitu "Jom Ubah Sarawak" pada pilihan raya negeri Sarawak dilihat lebih bersifat sekadar menjual janji.

Perdana Menteri berkata sebaliknya usaha-usaha pembangunan prasarana yang sedang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sarawak ketika ini bukanlah disebabkan berlangsungnya pilihan raya itu tetapi telah dilaksanakan sejak tahun lepas lagi.

"Pembangkang, dia buat janji, bukan jaminan, tapi Barisan Nasional manifesto kita ini merupakan usaha yang sedang berjalan, buktinya NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) kita dilaksanakan dan kita beri keutamaan dari segi pembangunan prasarana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Pemasaran Setempat Taman Industri Automatif Pekan, di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto parti pembangkang pada pilihan raya negeri itu iaitu 'Jom Ubah Sarawak' yang diuar-uarkan pakatan pembangkang untuk membawa perubahan di Sarawak.

Perdana Menteri berkata usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan BN bukanlah kerana berlangsungnya pilihan raya negeri berkenaan tetapi sejak NKRA dilaksanakan pada tahun lepas lagi.

"Begitu banyak projek prasarana yang (kerajaan BN) buat di Sarawak, malah dalam dua tahun ini sehingga 2012, sasaran kita kecapaian mungkin terbesar dalam sejarah Malaysia dari segi pembangunan prasarana air, api dan jalan dan membantu baik pulih rumah-rumah buruk dan sebagainya," kata Najib.

"Ini bukan kerana pilihan raya tapi (program pembangunan) berjalan sejak NKRA dilaksanakan pada tahun lepas, pembangkang dia cuma buat janji, jual janji," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain