suria

Tiga Maut Nahas Di Pahang

KUANTAN: Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di Pahang pada Khamis.

Menurut Ketua Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang Supt Mohd Fauzi Abdul Rahim, pada kejadian pertama membabitkan tiga buah kenderaan di Km24 Jalan Lipis-Merapoh pada 6.20 petang.

Katanya mangsa yang terbunuh ialah penumpang kereta Perodua Viva, Noramira Jantan, 19, dan Rozainawati Abdul Razak, 30.

"Dua lagi mangsa yang menaiki kenderaan sama turut cedera parah, kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta Proton Saga dari arah Lipis cuba memperlahankan kenderaannya untuk mengelak sebuah motosikal di hadapan.

"Sebuah lori yang datang dari arah yang sama telah merempuh bahagian belakang kereta Proton terbabit sebelum terbabas ke kanan jalan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Kereta Perodua Viva yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan telah bertembung dengan lori berkenaan dan menyebabkan kereta terbabit berpusing dan terbalik.

Sementara itu, dalam satu kemalangan berasingan di Km142.8 Jalan Kuantan-Segamat pada 8.05 malam tadi, penunggang motosikal, Nurul Afikah Mohd Subri, 19, meninggal dunia selepas terbabit nahas dengan sebuah kenderaan.

"Ibu mangsa yang membonceng motosikal itu cedera parah. Ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersama ibunya dalam perjalanan dari arah Kuantan ke arah Segamat.

"Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai membelok ke simpang sebelah kanan jalan bagaimanapun gagal sebelum bergesel dengan kenderaan lain dari arah sama," katanya.

Beliau berkata polis masih mengesan kenderaan yang terbabit dalam nahas itu. -BERNAMA

Artikel Lain