suria

Saida, Suami Diarah Lantik Wakil Hakam

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Saida dan suaminya diarahkan mempercepatkan urusan melantik wakil masing-masing untuk menganggotai hakam (penimbang tara) yang akan mencari jalan penyelesaian kemelut rumah tangga mereka ekoran permohonan cerai yang difailkan oleh bekas peserta Akademi Fantasia keenam itu.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd Suhaily Rosdy pada prosiding Jumaat, yang dijalankan secara tertutup. Beliau juga memerintahkan supaya Saida atau nama sebenarnya, Siti Nursaida Tarudin selaku plaintif dan suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri melantik wakil mereka di hadapan Pendaftar Mahkamah.

Wakil hakam tersebut sepatutnya dilantik pada hari ini, tetapi Saida tidak menghadiri prosiding kerana difahamkan menjaga seorang anaknya yang sakit.

Hanya Mohd Ghazali yang merupakan ahli perniagaan hadir di mahkamah dengan ditemani seorang lelaki dipercayai wakil hakamnya.

Justeru itu, Mohd Suhaily menetapkan 11 Mei depan untuk wakil-wakil hakam berkenaan membentangkan laporan mereka sama ada perkahwinan tersebut masih boleh diselamatkan atau memberi cadangan penyelesaian lain.

Saida, 35, yang juga kakak kepada penyanyi popular negara, Datuk Siti Nurhaliza memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik pada 6 Oktober 2010 atas alasan tiada persefahaman.

Bagaimanapun, Mohd Ghazali, 40, yang merupakan bekas jurutera kaji bumi memberitahu dia tidak bersetuju dengan permohonan isterinya kerana masih mempunyai perasaan sayang.

Saida dan Mohd Ghazali berkahwin pada 14 Disember 1996 di Kuala Lipis, Pahang dengan berwalikan bapa kandung dan dikurniakan empat orang anak, Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Mohd Ghazali diwakili peguam syarie Amli Embong manakala peguam syarie Noor Azlina Che Hasan mewakili Saida.

Artikel Lain