suria

PRN Sarawak: 213 Calon Diberi Tempoh Sehingga Malam Esok Untuk Tarik Diri

KUCHING: Kesemua 213 calon yang disahkan bertanding pada pilihan raya Sarawak mempunyai tempoh sehingga tengah malam Sabtu untuk menarik diri.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, berdasarkan rekod pilihan raya negeri yang lalu, beberapa calon Bebas akan menarik diri dalam tempoh tiga hari yang diperuntukan SPR selepas proses penamaan calon berlangsung.

"Sehingga kini saya belum menerima laporan berhubung mana-mana calon menarik diri, tapi macam-macam boleh terjadi dalam tempoh berbaki kurang 48 jam ini.

"Apabila tempoh menarik diri berakhir, SPR akan memuktamadkan senarai calon bertanding dan akan mula mencetak kertas undi," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Daripada 213 calon yang menyerahkan kertas pencalonan pada Rabu, 71 daripanya adalah Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (49), DAP (15), PAS (5), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) (26), Parti Cinta Malaysia (6) dan Bebas (41).

Selain itu Wan Ahmad berkata, peluang menarik diri di bawah peruntukan Seksyen 11(7) Akta Pilihan Raya 1981, calon-calon berkenaan akan hilang wang deposit berjumlah RM5,000.

"Kecuali yang menarik diri dalam tempoh bantahan iaitu selama satu jam selepas tempoh penyerahan borang berakhir akan menerima kembali wang deposit mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, calon yang mahu menarik diri perlu mengisi borang yang turut ditandatangani oleh pencalon dan penyokong serta perlu menyerahkannya sendiri kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Katanya prosedur berkenaan bagi mengelakakan daripada perbuatan sabotaj oleh mana-mana pihak kepada calon yang bertanding.

Artikel Lain