suria

Polis Tahan Bomoh Disyaki Rogol Calon SPM

JITRA: Seorang bomoh berusia 36 tahun ditahan selepas disyaki merogol seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini yang mendapatkan rawatan di rumahnya di Simpang Kemboja, Ayer Hitam dekat sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Deputi Supritendan Ibrahim Mohd Yusuf berkata pelajar terbabit yang dikatakan terkena 'gangguan' telah ke rumah bomoh berkenaan bersama ibu bapanya untuk rawatan susulan.

"Sehari sebelum kejadian mangsa dah pergi jumpa bomoh itu dan diberitahu ada hantu menumpang dalam badannya dan disuruh datang semula pada malam keesokan harinya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, Jumaat.

Menurut laporan, mangsa dirogol ketika sedang dirawat dalam sebuah bilik di rumah bomoh berkenaan, manakala ibu bapanya berada di ruang tamu.

"Selepas menyedari mangsa dirogol, keluarganya membuat laporan polis dan suspek ditahan di tempat kerjanya di kolam udang Kerpan pada petang Rabu," katanya.

Ibrahim berkata bomoh berkenaan kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Lain