suria

Pilihan Raya Sarawak: Wan Azizah Nasihat Dominique Ng Tarik Diri

KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihati calon Bebas bagi kawasan DUN Padungan Dominque Ng Kim Ho supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Beliau berkata ini memandangkan Ng telah bersetuju untuk menyokong dan berkempen bagi pembangkang.

"Nasihat kami kepadanya ialah beliau sebenarnya patut menarik diri. Biarlah pertarungan ini antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR Kuching di sini, Jumaat.

Selasa lepas, Ng mengumumkan keluar daripada PKR untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi DUN Padungan setelah beliau tidak dipilih oleh kepimpinan parti itu untuk mempertahankan kerusinya susulan pertukaran kerusi oleh PKR dengan DAP.

Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN, Sim Kiang Chiok dan wakil DAP Wong King Wei.

Pembangkang berasa khuatir kerana pertandingan tiga penjuru bagi kerusi berkenaan akan mengakibatkan perpecahan undi dan memberi kelebihan kepada BN.

Ditanya sama ada Ng akan diterima semula menyertai PKR seandainya beliau menang, Dr Wan Azizah berkata: "Kami adalah sebuah parti, anda tidak boleh datang dan pergi sesuka hati. Ada peraturan yang anda perlu patuhi."

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Penerangan PKR Negeri dan calon bagi DUN Batu Lintang See Chee How berkata kehadiran lebih 40 calon Bebas dalam pilihan raya negeri ke-10 ini bukanlah perkara yang membimbangkan pembangkang. -BERNAMA

Artikel Lain