suria

PGM Tawau Rampas 1,080 Liter Diesel Dalam Dua Operasi

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau merampas 1,080 liter diesel dipercayai diesel bersubsidi dan empat kenderaan dalam dua serbuan di Jalan Sin On awal pagi Jumaat.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Tawau ASP Krishnan Ramasamy berkata serbuan pertama berhampiran sebuah stesen minyak pada pukul 2.10 pagi menyaksikan seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu sebuah kenderaan yang telah diubah suai tangkinya ditangkap.

Bercakap pada sidang media di sini, Krishnan berkata selepas pemeriksaan awal, lelaki itu membawa sepasukan tujuh anggota PGM ke sebuah rumah tidak bernombor tidak jauh dari lokasi pertama.

"Setibanya di rumah itu, pasukan kami mendapati beberapa lelaki sedang memindahkan minyak diesel dari sebuah lori tangki ke enam buah tong dram.

"Menyedari kehadiran kami kesemua mereka melarikan diri," katanya.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dianggar RM323,424.

Lelaki yang ditahan dan juga hasil rampasan telah diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut, katanya.

Dalam perkembangan lain, PGM Tawau juga berjaya merampas 425kg minyak masak dari sebuah feri penumpang menuju ke Nunukan, Indonesia pada pukul 5 petang semalam. -BERNAMA

Artikel Lain