suria

Jurujual Ke Tali Gantung Kerana Edar Ganja

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim memerintahkan demikian selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh Aidilfitri Idrus, 41, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Nurmala berkata pihaknya tidak dapat menerima pembelaan tertuduh yang dia tidak tahu langsung tentang isi kandungan beg yang dibawanya selepas menerima daripada seorang lelaki yang didakwa bernama Azhar.

Beliau berkata tidak logik sama sekali, kalau tertuduh tidak memeriksa kandungan beg terbabit yang tidak berkunci kerana berat 20 ketul dadah dan baunya pasti dapat dihidu oleh tertuduh sehingga menimbulkan rasa curiga.

"Watak Azhar yang ditimbulkan oleh tertuduh juga, seolah-olah diwujudkan bagi menafikan pembabitan tertuduh. Hukuman hanya satu iaitu hukuman mandatori, maka tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di tepi jalan, Lebuh Tunku Kudin 1, di sini, kira-kira jam 2.40 petang pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 38B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika hukuman dibacakan, Aidilfitri yang berbaju warna hijau kuning kelihatan tenang sambil menoleh kepada ahli keluarganya di galeri awam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, L Umma Devi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Najib Rohim. -BERNAMA

Artikel Lain