suria

Calon, Parti Bertanding Diminta Tidak Mengutuk Lawan

KUCHING: Calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan kutukan yang mengaibkan calon atau parti lawan termasuk dengan memasang sepanduk dan mengedar risalah kerana ia bertentangan dengan undang-undang pilihan raya.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Datuk Takun Sunggah berkata kempen pilihan raya sepatutnya digunakan untuk mengetengahkan kelebihan atau kekuatan calon dan parti masing-masing.

"Inilah masa mereka untuk tunjuk kelebihan mereka berbanding lawan. Bukannya untuk menghina atau merendah-rendahkan lawan.

"Kempen sepatutnya dijalankan secara bersih," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kejadian pemasangan sepanduk serta pengedaran risalah yang didakwa beberapa parti sebagai menghina parti dan calon mereka.

Semalam, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan membuat laporan polis terhadap kandungan sebuah risalah, diedarkan DAP, yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan yang rasuah.

Setakat ini, Takun berkata perjalanan kempen, yang memasuki hari ketiga, oleh parti-parti bertanding berjalan lancar dan tidak ada masalah serius dilaporkan kepada SPR dan polis.

"Tiada berlaku keadaan yang teruk-teruk. Masalah yang berlaku adalah masalah kecil yang dapat dikawal SPR dan polis," katanya.

Beliau menasihati calon dan parti bertanding supaya mematuhi peraturan dan berkempen dengan berhemah supaya pilihan raya kali berjalan lancar.

Mengenai penarikan diri calon, katanya sehingga kini belum ada lagi laporan mengenai calon menarik diri daripada bertanding.

Calon-calon yang hendak menarik diri mempunyai masa sehingga pukul 12 tengah malam esok untuk berbuat demikian.

Pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 diadakan pada 16 April. -BERNAMA

Artikel Lain